Penemuan bendasing dalam makanan merupakan satu kejadian yang menakutkan. Bendasing seperti batu, kaca, binatang, serangga atau pun lain-lain barangan tajam adalah sangat berbahaya. Bimbang jika tidak perasan, lalu masuk ke dalam perut. Pasti ianya memberikan kesan buruk kepada kita.
Oleh sebab itu, kita dinasihatkan untuk menjaga kebersihan. Lebih-lebih lagi bagi yang menjual atau menyediakan makanan. Jika dimakan oleh diri sendiri tidaklah terlalu berisiko. Namun apabila termakan oleh pembeli atau pun pelanggan pastinya ia perkara yang sangat menakutkan.
Seperti mana yang dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi group Masak Apa Tak Jadi Hari Ni berkenaan dengan penemuan bendasing dalam pulut bakar yang dibelinya. Lelaki yang dikenali dengan nama Tuan M E-One ini menemui ubat stapler yang tersusun cantik dalam pulut bakar yang dibelinya dari sebuah pasar.
Kejadian tersebut secara langsung telah membuatkan dirinya terkejut. Katanya, nasib juga tidak dimakan oleh kanak-kanak. Bimbang sekiranya kejadian tersebut menimpa orang lain, oleh sebab itu dia membuat perkongsian mengenai penemuan ubat stapler ini.
Makan pulut bakar inti ubat stapler pagi ni. Beli pasar tani Mache pagi tadi, Terkejut smeta. Mujur tak makan budok. Makan sikit nampak tersusun molek ubat stapler. Inti takdok langsung.
Share sebab nak suruh beringat jah takut keno ko ore lain pula.
Melihat kepada gambar tersebut, sangat menakutkan. Malah ramai juga warganet yang berasa takut apabila melihat kejadian yang berlaku kepada lelaki ini. Bukan itu sahaja, ada juga yang meninggalkan komen mengatakan mungkin yang menyediakan pulut bakar ini adalah orang tua yang sudah berusia.
Ada juga yang tertanya, apakah dia tidak perasan atau rasa sewaktu dia mengambil pulut untuk mengepal. Tidak kurang juga ada yang sempat menceritakan pengalaman yang hampir sama. Apabila dia temui jarum peniti dalam mihun celup yang dibeli untuk anak-anak.
Walaupun begitu, ada juga yang masih berasa was-was dan tidak percaya dengan apa yang dikongsikan oleh lelaki ini memandangkan ubat stapler berkenaan kelihatan bersih.
Tidak dapat diketahui sejauh mana kebenarannya, namun jika ini adalah kejadian yang benar-benar berlaku, dinasihatkan kepada peniaga di luar sana agar sentiasa berhati-hati dalam penyediaan makanan. Buat pembeli juga, sila perhatika terlebih dahulu makanan yang anda beli sebelum menyuapnya ke dalam mulut.
Kredit: Tuan M E-One via MATJHN