Gula melaka merupakan antara bahan yang sangat penting dan wajib ada di dapur. Rata-rata rakyat atau penduduk pantai timur memanggil gula melaka ini Nisang (Terengganu) atau Nise (Kelantan). Selain dimasukkan ke dalam kuih muih, bahan ini juga amat penting ketika menyediakan sambal atau apa-apa masakan lain.
Umumnya gula melaka ini diperbuat daripada nira kelapa dari beberapa jenis pokok kelapa seperti kelapa MAWA dan kelapa MATAG serta kelapa tinggi Malaysia. Air nira yang diambil dari pohon kelapa ini akan diproses secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya menjadi masam. Kemudian ia akan dimasak dalam kuali atau kawah yang besar sebelum dituangkan ke dalam bekas acuan yang telah ditetapkan.
Rata-rata penduduk pantai timur sering menggunakan Nisang ini sebagai makanan tambahan yang menggantikan gula. Dengan memasukkan bahan ini ke dalam masakan, masakan akan menjadi lebih enak, sedap serta berlemak. Untuk membeli atau mendapatkan nisang ini tidaklah susah, mana-mana pasaran atau kedai runcit ada menjualnya.
Namun begitu tidak semua nisang yang berada di pasaran itu asli. Ada juga segelintir penjual atau pengedar yang tidak bertanggungjawab mengedar nisang palsu atau tiruan. Di mana bahan makanan tiruan ini terdiri daripada campuran gula yang banyak.
Menurut Adzmal Abdul Aziz menerusi perkongsiannya menerusi group Masak Apa Hari Ni (MAHN), ada cara untuk membezakan gula melaka yang original dan tidak. Antaranya adalah dari segi teksturnya. Jika gula melaka yang asli apabila dipatahkan ia tidak terlalu keras, lembut sahaja. Jika nisang yang anda beli keras apabila dipatahkan itu bermakna ianya mempunyai banyak campuran gula.
Hari ini nak share sikit tips kalau korang nak bezakan gula nise yang ori dengan yang banyak campuran gula. Kalau yang nise ori bila kita nak patahkan dia tak keras sangat. Lembut je. Kalau dapat yang keras tu maknanya banyak campuran gula.
Sebelum bulan puasa selalu restock banyak-banyak sebab nak masak macam-macam kann. Guna gula nise ni memang sedap kalau nak buat kuih muih atau manisan tu wajib ada.
Bagi menghasilkan masakan yang enak dan berlemak, elakkan membeli gula melaka yang palsu dan pastikan anda membeli yang asli. Tak pasal-pasal paras gula dalam badan naik apabila menggunakan gula melaka yang palsu. Kalau anda semua ada info atau penambahan berkenaan dengan keaslian gula melaka ini bolehlah nyatakan di ruangan komen.
Baca juga: Teh O Ais Limau Bahaya Untuk Kesihatan? Pakar Ini Dedahkan Apa Yang Akan Berlaku Pada..