Bulan Ramadan kali ini melihatkan pelbagai gelagat pembeli serta peniaga tak kiralah di restoran atau bazaar. Ada yang lucu, ada juga yang mengundang kecaman warganet. Selain itu, dilihat banyak juga kejadian buruk yang menimpa peniaga sehingga terpaksa menanggung kerugian.
Seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, sebuah restoran didapati mengalami kerugian yang besar apabila 60 pelanggan tak muncul selepas buat tempahan sehinggalah waktu operasi berakhir.
Kejadian ini telah dikongsikan di laman TikTok oleh Hasniza Hasim.
Video yang dimuatnaik menunjukkan suasana restoran yang sudah bersedia untuk menyambut kedatangan pelanggan yang sudah membuat tempahan iftar untuk 60 orang. Namun, menjelang waktu berbuka, tiada satu pun yang tiba di restoran.
Staf restoran mula rasa tak sedap hati. Mengapa orang yang sudah tempah tempat berbuka tidak muncul-muncul lagi?
Dalam hati, mereka menganggap mungkin pelanggan seramai 60 orang itu akan datang selepas waktu berbuka. Namun, malangnya tiada satu pun yang datang sehingga restoran ditutup.
Bila dihubungi pelanggan yang membuat tempahan, tiada seorang pun yang menjawab. Staf restoran juga sudah cuba untuk hubungi pelanggan tersebut berkali-kali namun masih tiada jawapan.
Meskipun pemilik video tiada kena mengena dengan pihak restoran, dia cukup kesal dengan kejadian tersebut. Lebih mengecewakan, pihak restoran juga didapati tidak mengambil sebarang deposit daripada pelanggan tersebut.
Justeru, dia merayu kepada semua pelanggan supaya tidak menganiaya pihak restoran yang sudah melakukan pelbagai persiapan namun akhirnya terpaksa menanggung kerugian.
https://www.tiktok.com/@hsnzahsm/video/7090005988492889371?_t=8Rl5INz4SW1&_r=1
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mempersoal pihak restoran yang tidak mengambil satu sen pun deposit daripada pelanggan. Tambahan pula, tempahan tersebut melibatkan jumlah yang begitu besar.
Melihatkan kejadian ini, netizen sempat mencadangkan kepada pihak restoran untuk mengambil deposit atau bayaran penuh untuk memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi.
Warganet juga berharap pihak restoran dapat jadikan peristiwa ini sebagai iktibar supaya tidak mudah percaya dengan sesiapa lebih-lebih lagi dalam bab yang melibatkan untung rugi perniagaan.
Mungkin kita lihat pihak restoran atau hotel yang menawarkan hidangan berbuka puasa sedikit cerewet kerana mewajibkan pembayaran deposit kepada pelanggan untuk pengesahan tempahan.
Namun, inilah salah satu contoh jelas mengapa ianya penting bagi melindungi pengusaha restoran atau hotel daripada sebarang kerugian wang serta tenaga pekerja.
Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran buat semua agar tidak menganiaya atau terlalu percaya mana-mana pihak sekalipun.
Sumber : TikTok @hsnzahsm