Sebenarnya, agak sukar untuk dapati hidangan dalca ayam dan sayuran kecuali di majlis perkahwinan dan kenduri.
Selain enak dinikmati bersama nasi, juadah ini juga sesuai dimakan bersama roti.
Apa kata anda cuba buatnya sendiri ? Jom kita ikuti resepi dalca ayam dan sayuran yang cukup istimewa.
Resepi Dalca Ayam dan Sayuran Macam Ala Kenduri
Bahan-Bahan :
- 1 ekor ayam dipotong 16 atau mengikut citarasa masing-masing. (Cucikan ayam dengan tepung)
- 2 cawan kacang dal. (Rendamkan selama 1 jam kemudian rebuskan sehingga separuh empuk)
- 2 biji terung yang dipotong 8 bahagian.
- 10 batang kacang panjang (dipotong satu inci)
- 1 batang lobak merah (dipotong jejari satu inci)
- 3 biji kentang yang dipotong 6 bahagian
- 2 biji cili besar merah (dipotong tiga)
- 2 biji cili besar hijau (dipotong tiga)
- 10 biji cili padi (boleh sesuaikan kuantiti ikut citarasa)
- 2 biji tomato separuh masak (dipotong 4)
- 3 sudu makan cili kering kisar
- 3 sudu makan rempah kari daging
- 2 ketul kiub ayam
- 1 sudu besar asam jawa atau 2 keping asam keping
- 8 cawan santan cair
- 3 cawan santan pekat
- 1 sudu besar gula besar (boleh ditambah secukup rasa)
- Garam secukupnya
- ½ cawan minyak untuk menumis
- Air panas jika perlu
Bahan Menumis :
- 3 pelepah daun kari
- 2 batang serai dititik
- 2 batang kulit kayu manis
- 5 biji buah pelaga
- 5 biji cengkih
- 3 kuntum bunga lawang
Bahan Kisar :
- 2 biji bawang besar
- 5 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 2 inci kunyit
- 2 inci lengkuas
Cara-Cara :
- Panaskan minyak. Tumiskan bahan tumis dengan api kecil. Kacau 2 minit.
- Masukkan bahan kisar. Masak hingga pecah minyak.
- Masukkan cili kisar. Masak hingga kembali pecah minyak.
- Masukkan pula rempah kari dan kacau rata selama 2 minit.
- Masukkan pula kiub ayam, asam keping dan ayam. Gaul hingga sebati.
- Masukkan santan cair dan masak hingga ayam separuh empuk.
- Masukkan kacang dal yang sudah direbus, lobak merah dan kentang. Tutup periuk. Biarkan dalam masa kira-kira 3 minit.
- Masukkan kacang panjang, terung dan semua cili. Masak lagi 3 minit.
- Masukkan santan pekat dan tomato.
- Sebaik kuah mendidih, perasakan dengan gula perang dan garam. Jika kuah terlalu pekat, tambah air panas.
- Sedia untuk dinikmati !
Walaupun bahan-bahan yang diperlukan agak banyak, namun kaedah membuatnya tidaklah susah. Lagipun, tak lengkaplah rasa hidangan dalca anda jika ramuannya tidak mencukupi.
Bila anda dah tahu resepi dalca ayam dan sayuran ini, maka tidak perlulah anda tunggu jemputan kenduri semata-mata untuk nikmatinya.
Pastinya lebih puas hati bila dapat makan bersama keluarga di rumah. Dalca ini memang sesuai dipadankan bersama nasi beriani, nasi putih, roti, atau roti canai. Kalau nak makan begitu sahaja pun boleh !
Bukan saja lazat, malah hidangan ini juga diperkaya dengan khasiat sayur-sayuran dan tidak pedas. Jadi, anda juga boleh sajikannya pada anak-anak.
Selamat mencuba !
Sumber : Haninah Salim via Resepi Mudah