Roti canai merupakan makanan popular di Malaysia dan merupakan makanan tradisional kaum India. Roti canai yang dahulunya hanya popular di kedai Mamak sudah tersebar luas dijual di kedai dan warung pinggir jalan.
Makanan ini kini disukai bukan sahaja kaum India, tetapi semua masyarakat dan kaum di Malaysia. Ia terkadang dikenali dengan makanan yang mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia kerana semua kaum bersama-sama menyukai dan memakannya.
Terbaharu, seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today pagi ini, roti canai yang menggunakan tepung sebagai bahan utama dijangka meningkat harganya kerana kenaikan harga tepung gandum serta kekurangan bekalan di kedai runcit.
Selain itu, merujuk Kosmo pada Isnin lepas, akhbar itu mengeluarkan satu artikel mengenai stok tepung yang hanya bertahan sampai Julai. Pemborong telah mendakwa pengilang kekurangan gandum dan hal ini telah meresahkan peruncit dan peniaga.
Lantaran itu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Muslim Malaysia (Presma) memberitahu FMT bahawa kenaikan harga tepung gandum sudah berlaku sebelum larangan eksport India.
Ini mengakibatkan roti canai kini dijual antara RM1.20 dan RM1.70 sekeping.
Tambahnya lagi, Jawahar Ali Taib Khan yang merupakan presiden Presma memberitahu bahawa tepung guni seberat 25kg yang sebelum ini dijual dengan harga RM45, kini sudah berharga RM65.
Sebelum ini, KPDNHEP juga telah mengeluarkan kenyataan tentang larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba tidak menjejaskan bekalan tepung gandum negara.
Ini selepas kebimbangan orang ramai mengenai krisis India yang melarang eksport gandum berkuat kuasa serta merta pada 14 Mei lalu.
Bagaimanapun Kerajaan India menjelaskan pihaknya masih membenarkan eskport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.
Pada Selasa lalu, KPDNHEP telah mengarahkan 2,200 pegawainya untuk memantau kestabilan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi di pasaran negara ini.
2,200 Penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran#KPDNHEP pic.twitter.com/YSRYEoWP2t
— KPDN (@KPDN_HQ) May 17, 2022
Susulan isu ini, diharapkan semua pihak memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan pasaran gandum di negara ini.
Hal ini kerana, gandum merupakan bahan asas yang penting untuk memasak makanan seperti roti canai yang menjadi makanan rutin rakyat Malaysia.
Sumber: Free Malaysia Today
Baca juga: “Order Nasi Lemak, Tapi Sambal…”, Lelaki Ini Kecewa Nasi Lemak Yang Dibelinya ‘Kosong’