Durian Musang King merupakan durian yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran. Sesuai dengan harga, rasanya juga sangat sedap. Isinya yang tebal dan mempunyai rasa sedikit pahit serta lemak seringkali menjadi pilihan utama penggemar raja buah.
Tidak semua tempat dan negeri menanam raja buah ini, antara negeri yang terkenal dengan penanaman musang king ini adalah di Kelantan (Jeli, Tanah Merah), Pahang (Raub) dan beberapa lagi negeri yang mempunyai kedudukan dan bentuk tanah yang sesuai untuk penanaman buah ini.
Pengusaha Musang King akan mendapat hasil jutaan ringgit apabila tiba musimnya. Bab kata orang, mereka ini memang kaya raya apabila tiba musim durian. Namun terbaharu, pengusaha Musang King pada tahun dan musim ini mengalami kerugian yang amat banyak apabila durian mereka dikhabarkan tidak menjadi kerana diserang penyakit.
Menurut khabar yang dilaporkan TV3 pada pagi tadi, kira-kira 100 pengusaha yang mengalami masalah tersebut. Durian mereka diserang oleh ulat yang bewarna merah dan menyebabkan kulit buah durian Musang King menjadi lebam kehitaman.
Kata salah seorang dari pengusaha kebun, ulat berkenaan memakan biji durian dan menyebabkan rasa buah tersebut berubah dari manis kepada tawar. Oleh sebab itu, pengusaha durian ini tidak dapat menjualnya pada harga sepatutnya iaitu RM35 sekilogram.
Kejadian ini berlaku kepada pengusaha ladang Musang King Tanah Merah, Kelantan. Walaupun begitu, dikhabarkan ada lagi beberapa tempat lain yang turut terkena penyakit ini. Akibat dari ini, kira-kira 100 pengusaha kebun Musang King terpaksa berputih mata dan mengalami kerugian RM1 juta.
Menurut pemilik kebun, kejadian seperti ini sudah berlaku semenjak tahun 1990 namun kini semakin serius dan menyebabkan kerugian yang besar. Ratusan buah yang gugur bewarna kehitaman dan berbau busuk walaupun buah berkenaan masih berada di atas pokok.
Oleh hal yang demikian, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus berharap Jabatan Pertanian Kelantan mengkaji kehadiran penyakit berkenaan dan mencari penawar bagi mengatasi masalah ini.
Kami berharap semoga pihak Jabatan Pertanian Kelantan dapat menjalankan siasatan secepatnya. Semoga pemilik dan pengusaha kebun durian Musang King diberikan ketabahan atas ujian ini. InshaAllah, pasti akan ada rezeki yang lebih luas lagi selepas ini.
Sumber: Buletin TV3
Baca juga: Tak Boleh Makan Buah Durian Dengan Manggis? Ini Pendedahan Sebenar Mengenainya