Menyebut perihal burger, sememangnya ia merupakan salah satu menu yang popular di negara ini. Tidak mengenal peringkat umur, ramai yang menyukainya kerana ia juga merupakan makanan yang boleh mengenyangkan.
Rata-rata di Malaysia juga bersetuju bahawa burger tepi jalan adalah burger yang paling sedap dimakan. Ia termasuklah faktor harga yang memang berbaloi dibeli. Selain itu, burger tepi jalan juga senang diminta untuk menyediiakannya ikut selera pelanggan.
Mahu double daging? Double roti? Sos lebih atau sayur lebih? Tinggal cakap sahaja!
Tetapi, baru-baru ini, tular satu hantaran di Facebook berkenaan burger tepi jalan. Perkongsian seorang wanita mengenai pengalamannya membeli burger dari gerai jalanan baru-baru ini, menarik perhatian dan perdebatan di antara netizen.
Bukan disebabkan keenakannya, sebaliknya harga burger yang dianggap tidak masuk dek akal kerana terlalu mahal. Ia membuatkan ramai dan rata-rata netizen tercengang membaca hantaran tersebut.
Menurut Mstar, wanita berkenaan dalam satu hantaran di Facebook, mengunjungi sebuah gerai burger berdekatan sebuah bank di Kepong, Kuala Lumpur untuk membeli dua burger ayam special.
Namun dia benar-benar terkejut sewaktu mahu membuat pembayaran apabila dia diberitahu penjaja berkenaan bahawa harga burger pesanannya berjumlah RM23.
“Saya bertanya kepada peniaga itu tiga kali untuk mendapatkan kepastian, dan dia beritahu ia adalah harga untuk ayam special,” kata wanita berkenaan.
Ini bermakna harga untuk sebiji burger ayam special adalah RM11.50 di mana ia lebih mahal daripada burger yang dijual di restoran makanan segera.
Wanita tersebut kemudian membuat perkongsian mengenai pengalamannya itu di Facebook.
Dia juga memuat naik gambar burger ayam special yang dipesannya itu untuk dinilai oleh warga maya. Dia menginginkan kepastian tentang kewajaran harga burger ayam berkenaan.
Setakat ini, perkongsian itu meraih sehingga 1200 perkongsian selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen.
Meninjau komen, rata-rata netizen juga terkejut dengan harga yang dicaj untuk burger ayam special berkenaan kerana ia menganggap agak tinggi dan melampau.
“Burger McDonald lebih murah daripada burger yang mereka jual.”
“Gerai burger tepi jalan di Taman Sri Muda Shah Alam, double ayam special RM4.50,” demikian antara perkongsian netizen.
Rasanya, harga yang dicaj memang terlalu tinggi kalau mengikut gambar sebenar burger daripada hantaran berkenaan. Korang rasa macam mana?
Sumber: Nana Ng
Baca juga: Bos Mydin Saran Kerajaan Selesaikan Masalah Rantaian Bekalan, Bukan Harga Ayam