Kenaikan harga barangan seperti makanan dan minuman dari masa ke semasa jelas memberi impak yang besar pada seluruh pengguna. Rasa terbeban, kos hidup yang semakin meningkat membuat orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati dan mengharapkan solusi.
Bukan sahaja pengguna, malah pengusaha makanan dan minuman turut terkesan. Perlu menampung pelbagai kos dan memuaskan hati pelanggan, segelintir peniaga terpaksa kerugian gara-gara untuk meneruskan perniagaan mereka.
Dilaporkan oleh NEW STRAITS TIMES, peningkatan harga barangan telah memberi kesan yang negatif pada ramai, terutamanya peniaga kecil. Tak mahu meningkatkan harga jualan mereka, tindakan tersebut telah menyebabkan mereka alami kerugian sehingga 70 peratus.
Tambahan, tindakan kerajaan yang telah menghentikan subsidi minyak turut menambahkan kesusahan mereka. Menurut seorang peniaga kuih cakoi, Ismail Othman yang memerlukan pengunaan minyak masak dan tepung, peningkatan harga kedua barang tersebut telah menyebabkan dia kerugian.
Meskipun begitu, dia tetap nekad untuk menjual kuih tersebut dengan harga RM1.20 sahaja untuk sekeping.
Manakala peniaga nasi ayam yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi memberitahu bahawa untung hariannya telah menurun kepada RM60 atau RM70. Jika nak dibandingkan dengan dahulu, dia mampu membawa pulang untung hingga RM200.
Walaupun pelanggan setia Azmi cuba memujuknya untuk meningkatkan harga jualannya supaya dia tidak terus kerugian, dia tetap berkeras untuk kekalkan harga yang rendah.
Peniaga tauhu bergedil yang dikenali sebagai Bad pula harga jualannya kekal RM8 bagi setiap pek. Tapi ujian terbesar buatnya adalah kesukaran untuk mencari minyak masak dengan harga yang murah.
Perlu mengunjungi dua buah pasaraya untuk mencari pek minyak masak, ia amat sukar ditemui. Akhir sekali, dia terpaksa membuka kedai lewat dari selalu kerana perlu mendapatkan bahan-bahan. Hal itu bukan sahaja membuatnya kerugian wang tapi juga masa.
Jelas isu terkini bukan sahaja membebankan pengguna tapi juga para peniaga yang berasa tersempit. Jika tiada solusi, ia akan menjejaskan pendapatan mereka, sekaligus hidup rakyat akan menjadi semakin mencabar.
Semoga pihak berwajib mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi seluruh rakyat Malaysia ini.
Kredit: NEW STRAITS TIMES