Pemansuhan harga siling minyak masak botol yang diumumkan baru-baru ini buatkan ramai rakyat Malaysia gusar.
Menurut laporan akhbar tempatan, beberapa pasaraya didapati sudah mula menjual minyak masak botol dengan harga 40 peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Disebabkan itu, minyak masak peket juga sukar untuk didapati di pasaran. Jika ada pun, pembeliannya perlu dihadkan supaya stok di kedai terkawal dan pelanggan lain ada peluang untuk dapatkannya.
Namun, lain pula ceritanya mengenai seorang peniaga yang didakwa cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini.
Menerusi sebuah rakaman yang tular di Twitter ISU SEMASA VIRAL, seorang peniaga difahamkan telah meletakkan syarat yang tak masuk akal kepada pelanggan yang nak beli minyak masak.
Memang kebanyakan kedai macam ni. jual minyak bersyarat, kena belk barang baru boleh beli minyak. pic.twitter.com/kuJ1Zuj6jM
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) July 7, 2022
Dalam video tersebut, perakam yang dipercayai pelanggan di sebuah pasaraya merungut kerana pasaraya telah menetapkan syarat kepada pelanggan supaya membeli barangan RM 20 ke atas jika ingin beli minyak masak.
Rakaman tersebut juga mendapati peniaga seakan cuba mengelak dan berdalih ketika disoal mengenai syarat yang telah ditetapkan. Peniaga juga dilihat seolah-olah ingin lari daripada pelanggan itu.
Mungkin disebabkan terlalu kesal, si perakam bertindak untuk mengambil sendiri 2 peket minyak masak yang disimpan di bahagian bawah kaunter dan tetap berkeras untuk membelinya.
“Undang-undang mana ni? Saya nak minyak, saya tak kira, ni beli barang RM 20 baru boleh beli minyak masak? Mana boleh macam tu! Sekarang saya mahu minyak, saya tak kira, saya orang Malaysia,” luah pelanggan yang kesal dengan tindakan peniaga ini.
Walaupun video ini baru dimuatnaik semalam, ia sudahpun mendapat lebih daripada 9k tontonan pengguna Twitter.
Rata-rata netizen juga tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga yang seakan menindas pelanggan. Justeru itu, ramai yang meminta supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ambil tindakan segera mengenai hal ini.
Walaupun ramai yang terkesan dengan kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini, nampaknya masih ada pihak yang ingin mengambil kesempatan.
Peniaga tidak sepatutnya meletakkan syarat yang boleh menimbulkan kesukaran kepada pelanggan. Semoga isu ini dapat diselesaikan segera dengan cara baik.
Sumber : Twitter ISU SEMASA VIRAL