Tuhan menciptakan kita dengan latar belakang dan cara yang berbeza kerana semuanya bersebab. Untuk saling tolong-menolong dan melengkapi antara satu sama lain. Ini kerana fitrah manusia yang hidup di dunia sememangnya saling memerlukan.
Misalnya, lahir sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah halangan untuk mengecap kebahagiaan. Golongan istimewa ini juga layak untuk hidup normal seperti manusia biasa yang lain.
Kerana itulah, inisiatif daripada sebuah restoran makanan segera, McDonald’s patut diberi pujian dan disokong orang ramai. Mereka memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU dengan bekerjasama bersama pelbagai organisasi lain.
Menyebut hal itu, sebuah video oleh seorang guru pendidikan khas berkenaan kisah pelajar istimewanya bekerja di McD menarik perhatian netizen. Dia berkongsi bagaimana perasaan bangga dan terharu melihat bekas anak didiknya gigih bekerja setelah tamat bangku sekolah walaupun mereka sedikit berkelainan upaya dengan pekerja lain.
Semangat yang ditunjukkan mereka sangat menyentuh hati guru berkenaan.
“Bila krew McD berkomunikasi. Perempuan masalah pendengaran, lelaki masalah pembelajaran (bekas murid saya). Yang sebenarnya krew lelaki itu bukan pandai pun sign language. Tetapi, dia tetap mencuba. Syabas.
“Memang ini harapan guru-guru ingin melihat anak didiknya berdikari selepas tamat sekolah,” luahnya terharu selepas melihat kegigihan dan semangat bekerja bekas anak murid OKU di McD.
@kukyuta_2021 Bekas murid saya..🥰 #sayagurupendidikankhas #anakanakistimewa #fypシ
@kukyuta_2021 Bekas murid saya..🥰 #sayagurupendidikankhas #anakanakistimewa #fypシ ♬ bunyi asal – Amran Hashim Hashim
Dalam perkembangan sama, melihat kepada reaksi netizen berkenaan hal itu, ramai yang turut sama tersentuh hati dengan kisah mahal dan manis yang dipaparkan guru tersebut. Mereka juga kagum dan banyak belajar daripada video perkongsian berkenaan. Misalnya, rasa syukur yang cukup dan cara memanusiakan manusia.
“Allahu, hebatlah mereka ini. Cikgu, syabas cikgu mendidik mereka dengan baik,” kata Alis Thairid.
“Alhamduliillah, terima kasih sebab bagi peluang mereka bekerja,” ujar Kakila.
“Semoga dalam rahmat Allah, anak-anak syurga,” komen Yusni Mat.
“Dengan kawan saya yang indah ini, saya belajar erti bersyukur,” luah megat Isa.
Melalui kisah guru bertemu anak murid OKU di Mcd ini, sesungguhnya terbuktilah manusia hidup untuk saling tolong-menolong. Adanya golongan yang mampu untuk menolong golongan yang memerlukan. Syabas kepada pihak McD. Semoga sentiasa memberi peluang kepada mereka yang memerlukan seperti ini.
Sumber: Kukyuta_2021