Kalau dahulu, sebut sahaja Kentucky Fried Chicken (KFC), pasti kita akan terfikir-fikir makanan mewah yang akan dibeli untuk menyambut atau meraikan majlis tertentu. Bagi sesetengah orang, KFC dianggap makanan mewah sehingga hari ini.
Ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil menjerumus kepada peningkatan harga makanan bahan mentah. Bukan semua orang mampu berbelanja sewenangnya kerana ada yang sedang berjimat untuk kelangsungan hidup.
Bercakap tentang KFC dan hal di atas, satu perkongsian video daripada Fazlina Fauzi di TikTok menarik perhatian orang ramai kerana sebak dalam masa yang sama terharu dengan apa yang dipertontonkan itu.
Menerusi video TikTok berkenaan, dia menceritakan bahawa dia terlihat seorang budak lelaki berusia belasan tahun duduk termenung melihat orang ramai memesan KFC di ruang casher.
Tanggapan yang ada di dalam fikiran menganggui dirinya lantas menyuruh suaminya pergi bertanyakan khabar kepada budak lelaki berkenaan.
“Sebenarnyanya video ni saja-saja je aku ambil untuk hantar dekat group keluarga. Dan secara tak sengaja aku terpandang sorang budak ni tengok je orang tengah makan.
“Masa ni aku cakap dekat suami tengok budak tuh macam lapar je, macam dia sorang je, lepas tuh suami cakap mungkin keluarga dia tengah order kot,” katanya menceritakan tentang kisah budak lelaki datang KFC tersebut.
Menurutnya, dia berasa hairan kenapa budak lelaki itu menunggu di meja makan dengan tempoh yang lama. Jika benar dia menunggu keluarganya memesan makanan, kenapa harus lama sehingga sedemikian rupa?
“Lama juga la tengok dia sorang-sorang dekat situ. Suami pun bangun tengok dekat kaunter takut-takut ada family dia duk tengah order makanan. Masa suami tengok dekat kaunter memang takda sapa-sapa.
“Dan suami pun pergi dekat budak tuh, tanya dia datang dengan siapa. Dia kata datang sorang je dari Pengkalan Kubur naik bas ke Kota Bharu untuk cari duit makan untuk mak dekat rumah,” tambahnya lagi.
Lalu, selepas mengetahui situasi sebenar, suaminya memesan makanan untuk budak lelaki berkenaan kerana budak lelaki berkenaan memeberitahu bahawa dia sedang kelaparan.
“Dia cakap dia lapar. Belum makan lagi, terus suami order makan untuk dia. Akak doakan semoga segala urusan kau dipermudahkan dik,” luahnya sambil mendoakan kesjahteraan budak lelaki datang KFC berkenaan.
@fazlina.lynn90 Kita ingat kita susah,ada lagi yg susah pada kita😔
@fazlina.lynn90Kita ingat kita susah,ada lagi yg susah pada kita😔♬ Sholawat Sedih – Yabadrotim – Ai khodijah
Melihat ruangan komen netizen, ramai yang mendoakan agar urusan budak lelaki berkenaan dipermudahkan. Sementara ada budak yang sedap makan bersama keluarga lain, ada budak yang kelaparan dan tiada tempat untuk bergantung.
“Mengalir air mata saya. Semoga Allah permudahkan urusan adik tu. Dan sis sekeluarga dimurahkan rezeki. Amin Ya Allah,” kata Aisyah.
Netizen juga berpendpaat bahawa situasi berkenaan memberi pengajaran yang kadang-kadang, Tuhan juga ingin menguji kita untuk sentiasa berbagi rezeki dengan orang yang memerlukan.
“Dalam ramai-ramai orang, awak sedar dan awka bertindak. Maknanya Allah dah pilih awak dan Allah dah tetapkan rezeki dia. Semoga awak pun murah rezeki,” komen Aceed.
Melalui kisah ini, benarlah di dalam sebuah masyarakat yang bertamadun, sifat empati harus ditanam dalam setiap diri seseorang. Bukan sahaja simpati, tetapi melebihi dari itu dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang saling tolong menolong antara satu sama lain.
Semoga segalanya dipermudahkan.
Sumber: Fazlina Fauzi
Baca juga: “Memang Kedai Ni Harga VVIP Ke?”, Pelanggan Terkejut Restoran Caj Ikan Kerapu RM190 Dua Ekor