Dalam keadaan harga barang naik, ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga jualan dengan tinggi. Kadang-kadang, harga yang dikenakan memang tidak masuk dek akal.
Seperti dilaporkan oleh Sinar Harian, sebuah kedai di Port Dickson telah dikenakan kompaun akibat mengenakan caj teh o ais RM5 segelas. Bukan seorang pelanggan, sebaliknya tiga pelanggan mendakwa menjadi mangsa harga ‘cekik darah’ sebuah kedai makan di Medan Selera Seri Bayu yang tular baru-baru ini.
Premis makanan berkenaan tular di media sosial susulan caj RM5 dikenakan untuk segelas teh o ais. Termasuklah harga makanan lain yang disifatkan mahal.
Menerusi perkongsian pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nik Aisyah, dia memberitahu tidak sangka turut menjadi mangsa kedai makan kayangan viral.
Dia turut menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak menerima nasib sama.
“Kita pun makanlah dekat kedai yang tiada ‘banner’ itu sebab tak ingat nombor kedai dia. Rupanya banner atas kedai tu dia cabut…elak pun terkena juga.
“Waktu makan tadi ramai terkena, mujurlah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada sekali,” tulisnya.
Turut dimuat naik ialah resit makanan yang diterima daripada kedai berkenaan yang antaranya tertera RM10 untuk dua gelas teh o ais dan RM6 untuk segelas milo ais.
Sementara itu, KPDNHEP Port Dickson ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, pemilik peremis terbabit telah pun dikenakan tindakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 pada Khamis lepas.
“Bertindak atas tiga aduan diterima daripada orang awam, pasukan penguat kuasa KPDNHEP Port Dickson telah menjalankan Ops Samar.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada tanda harga diletakkan di premis dan tindakan kompaun serta-merta telah dikenakan,” katanya berkenaan kes peniaga caj teh o ais RM5 segelas.
Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian
Baca juga: Sambut Birthday Di Parking Lot Hospital, Keluarga Ini Buktikan Bahawa Bahagia Itu Sederhana