Ayam Geprek adalah menu yang berasal dari negara seberang iaitu Indonesia. Walaupun begitu, menu ini cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Bukan sahaja terdapat banyak restoran yang menjual hidangan Ayam Geprek ini, ada juga yang menyediakannya sendiri di rumah. Pelbagai jenis hidangan, bentuk dan rasa Ayam Geprek yang ada. Bagi peminat makanan pedas, mungkin ini adalah pilihan yang tepat.
Bagi yang sudah mencuba memasak hidangan Ayam Geprek di rumah namun tidak mendapatkan rasa yang sedap dan enak, mungkin anda boleh ikuti tips resepi yang dikongsikan oleh Puteri Hana Sofia di bawah ini.
Tips Masak Ayam Geprek Berempah Extra Spicy Yang ‘Over’ Sedap & Mudah!
Resepi & Tips Sambal Geprek:
Bahan-bahan:
- 15 btg cili padi
- 2 btg cili besar
- 3 biji bawang putih
- 6 biji kacang gajus (ikut selera masing-masing)
- Olive oil
- Tauhu
- Gula
- Garam
- Timun
*Grill cili padi, cili besar, bawang putih dan kacang gajus terlebih dahulu dan ketepikan.
Cara Penyediaan:
- Dalam batu lesung, masukkan cili padi, garam, kacang gajus dan bawang putih.
- Tumbuk lumat semua bahan.
- Masukkan cili besar, gula dan garam secukup rasa.
- Masukkan pula minyak bekas goreng ayam yang sedang panas. Direct dari kuali lagi bagus. Supaya sambal tu masak sikit. Takde lah mentah sangat. Perut pun tak pedih. Kemudian, gaul rata.
- Masukkan ayam berempah yang dah digoreng tadi. Geprek kan ayam tersebut bersama dengan sambal. Siap!
Resepi Ayam Berempah:
Bahan-bahan:
- 1 sudu kecil ketumbar
- 1 sudu kecil gula
- secubit garam
- 1/2 inci halia
- 3 helai cili kering
- 1 sudu kecil jintan
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 1 sudu kecil tepung jagung*
- 1 sudu kecil tepung gandum*
Cara Penyediaan:
- Blend semua bahan diatas kecuali tepung gandum dan tepung jagung.
- Campurkan bahan kisar dengan tepung dan perap ayam dalam 30 minit sebelum digoreng.
- Goreng ayam dengan minyak yang panas sehingga betul-betul masak dan kekuningan.
Nak tahu juga resepi Nasi Ayam Penyet ala Wang Solo? Jom kita ikuti resepi yang dikongsikan oleh peniaga nasi tersebut di bawah ini.
Resepi Ayam Penyet Ala Wong Solo
Bahan-bahan:
- 10 ketul ayam bahagian paha
- Kunyit hidup
- Lengkuas
- Serai
- Daun bay
- 3 ulas bawang putih
- 6 ulas bawang merah
- Lada hidup
- Lada melaka merah
- Lada melaka hijau
- Belacan
- 2 biji tomato
- Asam jawa
- Tepung gandum
- Tepung beras
- Tepung ubi
- 1 biji telur
- 2 kiub ayam
- Kicap ABC
- Gula putih
- Gula melaka
- Garam
- Minyak masak
- Tempe
- Tauhu
- Salad
- Timun
Cara penyediaan:
- Rebus ayam, kisar kunyit bersama bawang putih. Masukkan sekali serai, lengkuas, daun bay, kiub ayam dan garam. Rebus sehingga ayam masak. Ambil dalam 1/2 jug air rebusan ayam. Sejukkan (air rebusan ayam tadi nak buat kremes).
- Untuk buat sambal pula, kena goreng dulu tomato, bawang-bawang, belacan dan semua jenis cili. Goreng sehingga layu kemudian kisar. Masak semula dan masukkan gula, garam dan asam jawa. Masak sehingga bertukar warna gelap.
- Untuk buat lada kicap, bawang putih setengah labu, tumbuk segenggam lada melaka dan masukkan kicap ABC.
- Untuk kremes, satukan tepung gandum, tepung ubi, tepung beras, telur dan air rebusan ayam tadi yang sudah sejuk. Kemudian goreng.
- Untuk ayam, celup dalam adunan yang dibuat kremes juga dan goreng sehingga masak. Goreng juga tauhu dan tempe. Untuk nasi, masak seperti biasa. Kalau guna beras wangi lagi sedap.
- Siap untuk dihidangkan.
Mudah dan ringkas sahaja kan cara nak buat Ayam Geprek Berempah Extra Spicy dan Ayam Penyet Ala Wang Solo ni? Guna sebelah mata pun boleh buat tau, yang penting jangan derhaka resepi.
Selamat mencuba & semoga bermanfaat!
Kredit: Puteri Hana Sofia & Maya Miera
Baca juga: Letak ‘Bahan’ Ini Barulah Gebu Lembut & Cantik Elok, Ini Dia Cara Buat Donut Gebu & Mudah!