Kalau pergi ke negeri Pantai Timur tak sah kalau tak singgah di Kuala Terengganu. Bandar yang berada di pesisir pantai ini juga merupakan syurga makanan bagi rakyat Malaysia. Sebut je pasal Terengganu, semua orang fikir pasal nasi dagang, keropok lekor dan makanan laut. Itu antara makanan yang akan dicari oleh pengunjung jika kesini. Mari saya kongsikan beberapa tempat makan yang menarik yang boleh anda pergi semasa melancong ke Kuala Terengannu.
Warung Pok Nong sangat terkenal dengan celup tepungnya kerana makanan laut yang akan dihidangkan semuanya segar-segar belaka. Pelbagai pilihan makanan laut yang ada seperti ikan, sotong dan udang.
Pengunjung warung ini sanggup beratur panjang semata-mata untuk merasa keenakan celup tepung Warung Pok Nong ini. Makanan lain seperti keropok lekor, ketupat sotong dan sebagainya juga boleh didapatkan disini. Harga pula amat berbaloi untuk makan makanan laut yang segar.
Jika anda penggemar nasi kerabu, saya syorkan anda untuk menjamu selera dikedai ini. Nasi kerabunya yang dihidangkan sama ada ayam bakar, daging bakar ataupun kambing bakar pasti menambat hati anda.
Menu lain juga disediakan disini seperti nasi lemak, nasi gulai ayam dan gulai ikan. Fauzi Nasi Kerabu juga berjaya menempatkan diri sebagai salah satu daripada 50 gerai World Street Food Congress yang diadakan di Manila. Memang terkenallah kedai ini dan dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat tidak kira dari dalam ataupun luar negeri.
Jika anda seorang penggemar kuih-muih tradisional, disinilah tempat yang anda harus datang. Deretan kedai yang menjual aneka kuih-muih pasti membuatkan anda pening untuk memilih apa yang hendak dimakan.
Gerai Kuih Muih Gong Kapas ini telah lama beroperasi namun rasa setiap kuih muihnya masih tidak berubah. Sama seperti dulu. Semua kuih yang terkenal dan kuih tradisional Terengganu ada dijual disini dengan harga yang amat murah.
Nasi dagang merupakan salah satu makanan yang akan dicari oleh pengunjung apabila sampai ke Terengganu. Banyak kedai dan restoran yang menghidangkan nasi dagang tetapi tidak boleh melawan kesedapan Nasi Dagang Atas Tol ini.
Kepekatan kari ikan tongkolnya ditambah pula dengan beras nasi dagang yang lembut sememangnya akan memuaskan selera makan anda. Anda perlu datang awal ke kedai ini jika tidak mahu beratur panjang untuk dapatkannya. Kebiasaannya pada pukul 10 pagi nasi dagang telah pun habis.
Bagi anda yang mencari tempat untuk makan tengahhari yang menyediakan lauk pauk orang tempatan, anda bolehlah berkunjung ke Restoran Singgang Budu ini.
Menu utama disini ialah singgang yang akan disertakan sekali dengan budu. Bagi korang yang tak tahu apa itu masak singgang, masak singgang atau ditempat lain dipanggil masak pindang adalah satu menu lauk yang sangat digemari oleh masyarakat Terengganu.
Terdapat pelbagai lauk yang disinggang seperti ikan singgang, daging singgang dan sotong singgang. Ada juga lauk lain yang disediakan dan enak untuk kita menjamu selera.
Sekiranya anda berada berdekatan dengan lapangan terbang Kuala Terengganu, kedai inilah yang wajib anda pergi. Dekat mana lagi kita boleh jumpa air buah yang dihidangkan dalam tapak kasut gergasi ?
Disinilah tempatnya. Pelbagai saiz air buah yang disediakan daripada saiz S sehingga saiz balang besar yang boleh dikongsi seramai lebih 10 orang. Antara makanan lain yang terdapat disini ialah keropok lekor, mi kari dan laksa Terengganu.
Jika anda mencari masakan ala thailand di Kuala Terengganu, saya cadangkan anda untuk menikmati masakan ala thai disini. Suasana restoran ini amat tenang dengan dinding kedainya terdiri daripada buluh-buluh yang telah dihasilkan dengan cukup unik.
Di NR Cafe, pengunjung boleh memilih sendiri pelbagai jenis seafood sebelum diserahkan kepada chef untuk dimasak mengikut citarasa masakan pengunjung sendiri. Disini juga ada menghidangkan makanan barat yang tidak kurang menariknya untuk dijadikan santapan makan malam.
Itulah antara tempat makan yang menarik yang boleh kunjungi di Kuala Terengganu. Bagi saya, Kuala Terengganu merupakan satu bandar yang penuh dengan aneka lauk-pauk dan kuih-muihnya. Walaupun kini zaman sudah banyak berubah namun makanan tradisional masyarakat disini akan terus kekal sampai bila-bila.