Dengan kenaikan harga makanan, pergelutan untuk mengisi perut demi kelangsungan hidup dapat dirasai dari hari ke hari. Dalam keadaan itu, pertolongan daripada orang-orang baik sangat menggembirakan. Setidaknya, melihat individu yang baik hati dan pemurah mengambil inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan dapat menenangkan jiwa yang sesak.
Seperti tindakan seorang peniaga burger yang memberikan makanan secara percuma telah tular baru-baru ini di media sosial. Peniaga Asip Burger Bachang, sebuah gerai burger di Melaka menjadi bualan ramai oleh kerana notis yang mereka letakkan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Jika kamu tidak mempunyai wang untuk membeli makanan, sila beritahu kami. Tak perlu berlapar, kami akan beri kamu burger secara percuma,” tulis notis berkenaan.
Menurut World Of Buzz, ketika ditanya apakah yang memberi inspirasi kepada mereka untuk berbuat sedemikian, mereka memberitahu mereka juga pernah berasa susah.
“Kami tahu bagaimana rasanya tidak mempunyai wang”, kata Asip kepada apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk meletakkan notis berkenaan.
Asip juga berkata, pelanggan yang membayar lebih untuk pesanan mereka juga menggalakkannya untuk mula memberikan burger secara percuma.
“Sesetengah pelanggan membayar saya duit tambahan sebagai bentuk sumbangan supaya saya dapat memberi burger percuma kepada golongan yang memerlukan”, katanya sambil menambah mereka yang kurang berkemampuan tidak makan banyak. Hanya satu burger sudah cukup untuk menahan rasa lapar mereka.
Setakat ini, Asip dan abangnya tidak menghadapi sebarang cabaran besar dalam inisiatif mereka. Sebaliknya, cabaran sebenar hanya bermula sekarang kerana mereka menjadi viral.
Beliau berkata bahawa mereka boleh terus memberikan burger percuma kerana pendapatan mereka yang stabil dan sikap pelanggan mereka.
“Sekarang ini, saya sudah mempunyai beberapa ‘pelanggan tetap’ yang datang ‘claim’ burger percuma itu. Mereka tidak melakukannya setiap hari, hanya dua kali sebulan. Mereka yang susah faham.”
“Mereka selalunya datang hujung bulan. Terdapat juga beberapa pelanggan yang membayar balik kepada kami apabila mereka mempunyai wang yang mencukupi.”
Terdahulu, pertolongan sebegini juga dilakukan oleh peniaga sebuah kedai makan Nasi Ayam Mafia di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor. Mereka memberikan air percuma kepada rider yang menunggu pesanan makanan di kedai mereka.
Melihat ruangan komen, ramai yang mendoakan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan peniaga Asip Burger berkenaan. Tindakan dan pertolongan sebegitu dapat menyelamatkan jiwa yang sedang kelaparan. Mereka juga berharap tiada orang yang mengambil kesempatan atas kebaikan itu.
“Alhamdulillah moga makin murah rezeki awak. Moga terus berjaya dalam perniagaan,” kata netizen bernama Marliah mendoakan kejayaan Asip Burger.
Semoga Asip Burger dimurahkan rezeki yang berlipat ganda atas kebaikan dan pertolongannya membantu warga susah. Semoga orang-orang baik dan rakyat di luar sana sentiasa ada untuk kita semua.
Sumber: Asip Burger