Menjadi satu kebanggaan apabila karipap yang diperkenalkan oleh Malaysia diiktiraf sebagai lima kuih terbaik di dunia.
Bukan calang-calang penghargaan diberikan buat negara kita kerana makanan tersebut tersenarai antara 100 menu paling disukai ramai di dalam portal terkemuka, Taste Atlas.
Taste Atlas merupakan platform panduan travel, pengumpulan resipi asli dan makanan tradisional yang disertakan dengan ulasan pengkritik makanan popular.
Apa yang menarik perhatian, gambar karipap dengan simbol bendera Malaysia terpapar dalam portal berkenaan dengan rate 4.6 bintang. Wow!
Lapor Taste Atlas, karipap atau curry-puff merupakan pastri kecil yang digoreng dengan inti berperisa kari ayam atau kentang yang likat.
“Resipi menu santai tersebut dicipta oleh orang Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagiannya datang dari Sumatera dan Borneo.
“Ia sebagai hidangan pagi dan popular untuk dijadikan snek petang. Mudah didapati di kebanyakan kedai, bar dan pasar,” kongsi label itu lagi.
Selain kesederhanaan rasa dengan pilihan kari kentang dan ayam, karipap juga terkenal dengan isi tuna, sardin dan rendang daging.
Populariti hidangan tersebut juga semakin mencanak naik hingga tempias ke negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
Sumber: Taste Atlas / Sinar Plus
Baca juga: Nasi Goreng Kambing Malaysia Masuk Senarai Makanan ‘Paling Teruk’ Di Dunia