Sebut sahaja Khairul Aming, pasti perkara pertama yang muncul adalah tentang kebanggaan ramai orang berkenaan perniagaan anak muda yang berjaya.
Mana tidaknya, produk-produk yang dijualnya sentiasa mendapat sambutan ramai kerana cara pemasaran dan penjenamaannya yang luar biasa sehingga menambat hati ramai.
Terbaharu, menurut laporan Astro Awani, pempengaruh media sosial itu memperkukuhkan lagi reputasinya apabila berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records bagi nilai jualan RM1 juta terpantas.
Kejayaan itu dicapai melalui penstriman langsung TikTok Shop dengan jualan produk Dendeng Nyet Berapa yang mencecah nilai jualan RM1 juta dalam masa 3 minit 28 saat, baru-baru ini.
Khairul berkata, kejayaan ini bukan diraih dalam waktu yang singkat tetapi datang dengan perngorbanan untuk tempoh yang lama.
“Bila saya dapat tahu daripada TikTok Shop yang kejayaan kami menjual 80,000 dendeng adalah terpantas di TikTok Shop Malaysia dan sekaligus mendapat penghargaan Malaysia Book of Records – ia sebenarnya satu pencapaian yang luar biasa.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak dengan kemenangan ini. Ini hasil berkat usaha pasukan dan komuniti yang tanpa lelah menyokong saya,” katanya ketika menerima penghargaan Malaysia Book of Records di Central Market.
Menurutnya, kejayaan ini tidak akan menjadi tanda noktah dalam meneruskan kerjayanya terutamanya bidang perniagaan mahupun sebagai seorang pembikin konten.
Dalam masa yang sama, usahawan yang terkenal dengan 30 hari 30 resipi itu turut memaklumkan akan melancarkan siri ‘content travelling’ selepas hari raya.
Usahawan tersebut turut berharap kejayaannya ini dapat dijadikan contoh kepada peniaga-peniaga di luar sana untuk menceburi bidang perniagaan.
Sumber: Astro Awani
Baca juga: Jual Pau Sambil Menari Tarian Melayu, Cara Unik Promosi Peniaga Ini Tarik Minat Orang Ramai Membeli