Mesti ada yang pernah dengar jangan selalu makan telur ayam. Ianya membahayakan kesihatan dan bahaya untuk orang yang sedang mengamalkan diet yang sihat. Sehinggakan ada yang sanggup tak sentuh telur ayam bertahun-tahun kerana bimbang akan kesihatannya terjejas.
Nak amalkan corak pemakanan yang betul sememangnya tidak menjadi masalah. Bahkan sangat disarankan. Namun biarlah segala apa yang diamalkan itu berdasarkan fakta, bukannya mitos yang sering kali didengar dari mulut ke mulut. Barulah badan atau diet yang dijalankan akan lebih berkualiti dan tidak stress.
Sejauh manakah bahaya telur ayam ini, apa kata kita baca beberapa mitos mengenai telur ayam yang dikongsi oleh pakar nutrisi ini.
Ramai yang beranggapan bahawa makan telur/udang/kambing dan makanan lain yang mengandungi kolesterol akan meningkatkan kolesterol dalam darah dan seterusnyan menjadi penyebab risiko sakit jantung.
Faktanya : Kolesterol dalam makanan memang boleh mempengaruhi kolesterol dalam darah, tetapi sebenarnya majoriti kandungan kolesterol adalah dihasilkan oleh tubuh kita sendiri.
Kolesterol yang tinggi selalunya disebabkan oleh diet dan hidup yang tidak sihat seperti stress, kurang tidur, merokok, kurang senaman dan lain-lain, bukan sekadar disebabkan oleh makan telur, udang, kambing semata. Buktinya, ramai je yang dah jadi anti telur, anti udang, anti kambing tapi kadar kolesterol masih tinggi.
Ramai yang beranggapan pengambilan telur mentah boleh membantu mendapatkan kadar protein yang lebih tinggi.
Faktanya: Kadar protein dalam telur adalah sama walaupun telah dimasak. Yang berkurangan hanyalah dari segi vitamin dan mineral.
Walaubagaimanapun, kita tidak digalakkan untuk makan telur mentah ini adalah untuk mengelakkan risiko jangkitan salmonella. Selain itu, penyerapan protein melalui telur yang telah dimasak adalah lebih tinggi berbanding telur mentah.
Ramai yang beranggapan telur putih adalah lebih baik berbanding telur kuning.
Faktanya: Vitamin dan mineral pada telur lebih banyak terkandung dalam kuning telur. Antara vitamin yang ada ialah: vitamin D, vitamin A, vitamin E, Choline, Lutein, Zeaxanthin yang berfungsi untuk menjaga kesihatan tubuh badan.
Jika tidak makan kuning telur, maka sebahagian mineral dan vitamin ini tidak diperolehi.
Beberapa orang takut nak makan telur kuning sebab risau naik berat.
Faktanya: Kuning telur mengandungi protein dan zat bermanfaat seperti vitamin D dan choline dimana membantu menyerap kalsium dan meningkatkan fungsi hati. Ini dapat mengelakkan kejadian hati yang berlemak. Selain itu, menurut The American Heart Association menyatakan 1 biji telur sehari bagus untuk amalan diet yang lebih sihat.
Ini sering menjadi dilema buat semua wanita hamil kerana ada larangan untuk pengambilan telur. Ini hanyalah mitos!
Faktanya: Telur adalah sumber protein yang tinggi, vitamin, mineral dan asid amino. Jadi wanita hamil amat digalakkan untuk makan telur, ikan dan kekacang. Cuma wanita hamil perlu mengelakkan pengambilan makan telur yang mentah untuk elak risiko jangkitan samonella.
Semoga apa yang didedahkan oleh pakar nutrisi berkenaan dengan telur ayam ini dapat membuka mata anda semua. Tiada masalah untuk makan telur ayam ini, yang penting pastikan telur ayam yang dimakan dalam keadaan bersih dan selamat ya.
Sumber : Syaza Nutritionist Via Makmal Makanan
Baca juga : Bahaya Makan Telur Ikan Yang Ada ‘Cacing’ Macam Ni? Baca Penjelasan Ahli Kimia Ini