Pastinya pada saat ini ramai yang mengalami kesukaran hidup memandangkan negara kita masih berada di fasa lockdown. Yang mana ianya masih tidak menemui titik akhir disebabkan kes Covid-19 masih lagi tinggi.
Saban hari semakin ramai yang tertekan. Kehidupan yang dulu ceria bertukar derita. Siapa sangka jika dahulu masuk sahaja gaji, boleh makan sedap-sedap. Sewa rumah, sewa kereta, bil elektrik, bil air memang tiada masalah, selalu dibayar on time.
Namun kini semuanya berubah. Tiada lagi kemewahan hidup, semakin hari hidup semakin tertekan. Wang yang ada terpaksa dicatu. Malah ada juga keluarga yang tidak lagi mampu untuk membeli makanan walau hanya beras. Pastinya kempen bendera putih yang dijalankan baru-baru ini sedikit sebanyak dapat membantu ramai orang yang memerlukan.
Walaupun begitu, masih ada yang berasa malu untuk mengangkat bendera putih ini di depan rumah kan? Tidak mengapa, kami memahaminya dan rakyat Malaysia juga turut memahaminya.
Oleh sebab itu, KitaJaga ada menyediakan aplikasi atau web KitaJaga.co untuk anda yang memerlukan bantuan dan mengalami kesempitan hidup. Aplikasi atau web ini adalah berasaskan peta. Selain memohon bantuan, pengguna juga dapat mengetahui siapa yang memerlukan bantuan.
Aplikasi ini langsung tidak merumitkan. Pengguna tidak perlu log masuk, ianya boleh diakses serta merta dengan mudah. Pengguna hanya perlu masukkan nama, nombor telefon serta nyatakan keadaan sekarang dan tekan butang hantar.
Selain dari itu, pengguna juga boleh menambah notifikasi sekiranya memerlukan bantuan daripada kejiranan.
Buat anda yang terjejas pendapatan dan memerlukan bantuan serta keperluan semasa pada musim PKP, rakyat Malaysia tetap bersama anda. Anda boleh menggunakan aplikasi web KitaJaga.co ini. Malah orang ramai yang ingin membantu juga boleh menggunakannya.
Semoga Malaysia cepat pulih. Kita jaga kita!