Bila sudah mendirikan rumah tangga, hubungan dengan keluarga mentua perlu juga dijaga. Hal itu tidak mudah, malah kita juga akan membaca pelbagai kisah pergelutan rumah tangga yang melibatkan campur tangan mentua.
Walaupun begitu, kita perlu mencuba sebaik hati untuk mengambil hati mereka. Maklumlah orang tua akan mempunyai pelbagai ragam. Namun jika sabar dan dilayan dengan penuh hormat, lama-kelamaan mereka akan selesa dan terbuka hati untuk menyanyangi seperti anak sendiri. Oleh kerana sabar, hal itulah yang terjadi pada seorang wanita.
Dikongsikan di laman TikTok oleh seorang pengguna (identiti dirahsiakan), wanita itu berasa sebak dan terharu apabila bapa mentuanya meminta untuk menyediakan ayam goreng untuk dimakan.
Walaupun mungkin perkara yang biasa buat penonton, hal itu menyentuh hatinya kerana walaupun dia sudah berkahwin selama enam tahun dengan suaminya, bapa mentuanya tidak pernah meminta dia memasak untuknya.
Mungkin kerana masih lagi segan dan tidak selesa dengannya, dia memahami warga emas itu dan tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan sakit hati. Namun bila bapa mentuanya memintanya untuk menggorengkan ayam dan sanggup menunggunya pulang pada lewat malam untuk makan masakannya, terdetik perasaan yang mengharukan di dalam hatinya.
Menjengah di ruangan komen, netizen mendoakan wanita itu. Malah, ada yang berasa bahawa dia merupakan seorang yang sangat bertuah kerana masih lagi mampu berbakti pada mertuannya.
Janganlah kita cepat bersangka buruk pada keluarga mentua kita. Jika mereka kurang bercakap atau ramah mesra, mungkin mereka belum lagi selesa dan memerlukan masa untuk membiasakan diri. Jika dilayan dengan baik dan penuh sabar, mungkin mereka akan terbuka hati pada suatu hal nanti. Seperti wanita ini, setelah enam tahun, barulah bapa mertuanya sedia dan selesa untuk memintanya memasak buatnya.
Baca Juga: Netizen Dakwa Wanita Ini Kejam Gara-Gara Kongsi Video Bakar Belangkas