Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 707K followers
  • 306K followers
  • 99.6K Followers
Home » Berita » Punya 5% Peluang Untuk Hidup, Penghidap Barah Tahap 4 Ini Tewaskan Sakit Dan Mulakan Hidup Baru Sebagai Peniaga Pastri

Punya 5% Peluang Untuk Hidup, Penghidap Barah Tahap 4 Ini Tewaskan Sakit Dan Mulakan Hidup Baru Sebagai Peniaga Pastri

Kategori: ,
peniaga pastri

Aroma wangi pastri yang baru dibakar menusuk ke hidung tatkala Encik Fuad Fahmi membuka penutup ketuhar.

Inilah roti kroisan (juga dikenali sebagai roti bulan sabit) berwarna coklat keemasan dan berintikan rendang ayam yang menjadi resipi Encik Fuad sejak dia mulakan perniagaan itu.

Sambil menarik dulang keluar, dia memeriksa setiap kroisan dengan teliti dan menghiris pastri itu dengan berhati-hati. Dia kemudian meletakkan daun limau purut segar di atas setiap kroisan dan menambah sedikit pewarna sebagai hiasan.

peniaga pastri

Menurut berita portal Channel News Asia, ruang bilik yang dijadikan sebagai dapur membakar roti, Encik Fuad yang berusia 34 tahun, dilihat cergas dan bersemangat menyiapkan menu jualannya.

Namun, dia yang kini kelihatan sihat dan ceria itu tidak sama keadaannya enam tahun lalu ketika dia bertarung nyawa melawan barah.

Bermula Kisah Melawan Barah

Ia bermula dengan kesakitan di bahagian bawah belakangnya diikuti dengan rasa mual dan penurunan berat badan yang ketara.

Dua bulan kemudian, pada Disember 2016, hasil ujian kesihatan mengesahkan bahawa beliau menghidap penyakit barah koriokarsinoma tahap empat, barah pada sel kuman.

“Saya hanya ada 5 peratus peluang kelangsungan hidup,” kata Encik Fuad.

“Ia bersifat agresif dan barah itu telah merebak ke bahagian organ lain seperti paru-paru, kelenjar limfa. Ia naik ke atas dari kawasan testis dan sudah merebak ke saraf tunjang dan kebimbangan adalah ia mungkin sampai ke otak.”

Berita sedih itu mengejutkan pesara kapten Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang juga merupakan seorang jurulatih tentera ketika itu.

peniaga pastri

“Saya sentiasa menjadi seorang yang menyokong gaya hidup sihat dan seimbang. Secara peribadi, saya memupuk tabiat pemakanan yang baik, gemar pergi gim dan bersukan sepanjang masa, jadi amat sukar untuk menerimanya,” katanya.

Dia segera memulakan rawatan kemoterapi yang akhirnya melalui lapan pusingan secara keseluruhan, tetapi ia memberi kesan ketara pada tubuhnya.

Tetapi keluarga dan isterinya – yang sebelum itu teman wanitanya – enggan berputus asa. Sebaliknya, tidak jemu memberi dorongan kepadanya untuk terus berjuang.

“Mereka betul-betul bersatu menentang barah dan memberi saya sokongan yang hebat, bukan saja menggalakkan saya tetapi juga membantu menjadikan masalah yang ada menjadi lebih terurus serta mencari huraian,” katanya.

“Mereka juga sentiasa mengingatkan saya bahawa saya perlu berjuang untuk orang yang saya sayang dan saya masih muda dan masih banyak lagi yang perlu dicapai dalam hidup.”

Usaha mereka membuahkan hasil, dan pada Ogos 2019 – sembilan bulan selepas Encik Fuad pertama kali didiagnos menghidap barah tahap empat itu – doktor memberitahu bahawa dia sudah sihat.

“Bila doktor beritahu berita bahawa tiada lagi penanda barah dalam badan saya, saya tidak percaya,” katanya.

“Saya tidak mampu berkata-kata, saya hanya memandang ayah saya dan peluknya. Saya kata: ‘Inilah yang telah kita perjuangkan. Mari kita mulakan hidup baharu.’ … Saya terlalu gembira.”

Keluarga Beri Sokongan, Tinggalkan Kerjaya Tentera Dan Buka Kedai Pastri

Encik Fuad membuat keputusan untuk meninggalkan SAF kerana mahu memberi tumpuan pada kesihatan dan kesejahteraannya. Dia kemudiannya meneroka kerjaya lain termasuk bidang jualan dan logistik.

peniaga pastri

Dia sempat berkhidmat di sebuah kedai karipap di Tampines. Pengalamannya yang singkat disitu mencetuskan idea untuk memulakan usaha niaga bakeri beliau sendiri.

“Ada seorang pakcik ini ketika itu membuat roti di sana. Saya bertanya kepadanya sama ada dia boleh mengajar saya, dan dia berkongsi resipi ringkas tentang cara membuatnya dan ia agak menarik minat saya,” katanya.

“Saya suka akan idea membuat produk dengan hasil tangan saya sendiri dan berkongsi makanan dengan keluarga saya dan masyarakat.”

Minatnya dalam bidang membuat roti dan pastri terus berkembang apabila dia belajar sendiri cara membakar menerusi video di YouTube.

Encik Fuad, yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari, tidak lama kemudian mendapati dirinya bereksperimen dengan resipi yang lebih rumit termasuk pastri jenis ‘viennoiserie‘.

Pada Februari tahun lalu, dia mula menjual pastrinya sebagai perniagaan sampingan, di media sosial menerusi jenama Captain Roti.

peniaga pastri

Sebulan kemudian, hasil maklum balas yang memberangsangkan, dia memutuskan untuk berhenti kerja sebagai seorang pengurus di sebuah firma logistik untuk menumpukan pada perniagaan bakeri.

Jual Hingga 2500 Pastri Sebulan, Impi Tubuhkan Akademi Bakeri

Hari ini, Encik Fuad menjual antara 2,000 hingga 2,500 pastri sebulan dan memasang impian untuk menubuhkan akademi bakeri sendiri pada masa hadapan.

“Saya tidak pernah sangka saya berada di tahap sekarang,” katanya. “Saya sentiasa fikir sebelum ini bahawa saya mahu ada kerjaya yang bagus dengan SAF atau mungkin di tempat lain di luar. Tetapi di sinilah saya, melakukan sesuatu yang saya suka, walaupun minat ini baru saja diterokai.

peniaga pastri

“Tetapi ini bukti bahawa tiada yang terlambat dan sentiasa ada jalan di mana anda boleh menunjukkan kreativiti anda atau mencari jalan anda melalui – apa saja rintangan yang menghalang jalan anda,” katanya.

“Bila saya imbas kembali seluruh perjalanan saya, termasuk perjuangan saya melawan barah, saya berasa sangat bersyukur dan banyak penghargaan yang perlu diberikan sepanjang perjalanan ini.”

Sumber: CNA

Baca juga: “Mungkin Dia Rindu Anak Di Kampung..”, Mamak Dukung Anak Pelanggan Kehulu Kehilir, Ramai Netizen Sebak Tengok Reaksi Mereka

tags: |