Selain makanan berasaskan protein seperti ikan dan ayam, sayur merupakan antara menu wajib ada dalam setiap hidangan utama.
Bagi kebanyakan orang, tempat paling mudah untuk membeli kesemua barang tersebut adalah di pasar basah.
Namun, ada juga yang lebih suka membeli barang tersebut di pasar raya ataupun pasar malam.
Lazimnya, pilihan membeli itu dibuat berdasarkan kedai mana yang menawarkan harga berpatutan.
Baru-baru ini, seorang wanita meluahkan rasa terkejut apabila harga sayur yang dibelinya dari pasar malam bernilai RM51.
Menerusi perkongsian wanita tersebut di TikTok @mbokjem89, dia membeli barangan tersebut di sebuah pasar malam yang terletak di Johor Bahru, Johor.
Jelas wanita berkenaan, dia yang tidak pernah membeli sayur di pasar malam terkejut dengan harga yang dikenakan oleh peniaga berkenaan.
Melalui video carousel yang dikongsikan, terdapat 12 jenis sayur yang dibeli antaranya seperti bayam merah, lobak merah, cili padi kampung, halia, cili merah, timun, limau kasturi dan daun limau purut.
Jelas wanita itu lagi, peniaga berkenaan turut memberikan kacang panjang secara percuma.
“Tak pernah beli sayur dekat pasar malam, sekali beli akak tu caj aku RM51. Dia bagi free kacang panjang.
“Korang tolong tengok, betul ke JB (Johor Bahru) punya harga macam ni?” tulisnya.
Perkongsian yang telah mendapat lebih 141,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju harga sayur di pasar malam atau pasar basah lebih mahal jika dibandingkan di pasar raya di mana-mana negeri sekalipun.
Malah, ramai yang berpendapat harga sayur di pasar raya jauh lebih murah.
Namun, ada segelintir netizen mendakwa harga barang berkenaan di pasar malam rumah masing-masing dijual dengan nilai murah.
Pun begitu, ada juga yang berpendapat nilai yang dikenakan oleh peniaga berkenaan sesuai dengan kuantiti barang yang dibeli.
Berdasarkan laman web Mana Murah, harga purata bagi sekilo bayam merah adalah RM6.35/kilogram (kg).
Manakala, lobak merah pula RM4.48 bagi sekilo, halia (RM11.66/kg) serta limau kasturi RM7.09/kg.
Berikut antara komen pengguna TikTok:
Sumber: Buzzkini