Ramadan tahun ini kelihatan lebih ceria daripada sebelumnya. Dengan pelbagai kelonggaran yang telah dilaksanakan, orang ramai berlumba-lumba untuk berbuka puasa di luar bersama keluarga dan kawan-kawan.
Antara restoran yang menjadi pilihan ramai sempena Ramadan adalah kedai makan berkonsepkan buffet di mana pelanggan hanya perlu membayar harga-harga yang telah ditetapkan untuk menikmati pelbagai hidangan yang disediakan dengan sepuasnya. Oleh kerana ia sangat popular, ada yang melakukan tempahan terlebih awal supaya tidak mahu terlepas.
Meskipun tempahan telah dilakukan, pelanggan dinasihatkan untuk tiba lebih awal dan sebelum waktu berbuka bagi mengelakkan berebut-rebut dengan yang lain. Memandangkan makanan di sana perlu diambil sendiri, sudah tentu orang lain juga akan mengambil dengan kuantiti yang banyak. Akhirnya kita pula yang terlepas.
Terbaharu, seorang wanita memuat naik sebuah video di laman TikTok untuk meluahkan rasa kecewa apabila telah mengunjungi sebuah restoran yang mempunyai konsep buffet.
Niat ingin berbuka puasa di sebuah restoran buffet, dia telah melakukan tempahan terlebih dahulu untuk tiga orang termasuk dirinya. Tempahan tersebut dilakukan seminggu awal tapi bila tiba di sana pada tarikh yang telah dijanjikan, wanita itu terkejut apabila mendapati makanan-makanan yang dihidangkan telah hampir dihabiskan.
Memeriksa makanan yang dihidangkan, hampir semuanya tiada. Cuma tinggal sedikit spaghetti, mi dan sup sahaja untuk dimakan. Hal itu membuatnya berasa terkilan kerana dia telah melakukan tempahan terlebih dahulu sebelum ke sana.
https://www.tiktok.com/@strawberrymoon955/video/7086891186102799643?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7052513906526406145
@strawberrymoon955 #Buffet ramadhan #iftar2022 #delisushiwangsawalk ♬ original sound – ælya
Semestinya sesiapa sahaja akan berasa kecewa apabila hal sebegini menimpa diri mereka. Namun apabila makan buffet, sudah tentu pelanggan lain akan berebut-rebut untuk mendapatkan makanan jadi ianya bukan salah pihak restoran sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, pihak restoran perlu menyediakan makanan tambahan bagi pelanggan yang tidak sempat mengambil makanan mereka.
Kredit: NatashaAlia