Daging antara bahan mentah yang sering digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Gulai kawah, BBQ, rendang hari raya, masak kicap atau sebut apa sahaja masakan, pasti ada tukang masak yang kreatif untuk mengolah daging menjadi satu masakan yang sedap dimakan.
Tetapi untuk menjadikan masakan berdaging itu sedap, tentulah tekstur daging itu terlebih dahulu diambil kira. Jika masakan sedap tetapi tekstur daging itu liat ketika dikunyah memang ‘potong’ selera nak makan kan?
Sebelum kita memotong daging, pastikan kita membuang dulu lemak atau serat berwarna putih yang ada pada daging yang berwarna putih. Yang paling kerap kita dengar, terutamanya ketika kali pertama masuk dapur untuk membantu ibu memotong daging adalah jangan ‘potong ikut urat’ untuk mendapatkan daging yang lembut.
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan jangan potong ikut urat ini? Urat ataupun dalam bahasa Inggeris, ‘grain’ merujuk kepada arah fiber otot menghala pada daging. Cara paling mudah untuk mengenal arah grain ini menghala adalah dengan melihat urat pada daging tersebut.
Anda akan melihat sama ada grain tersebut dengan jelas dan dapat menentukan bagaimana daging tersebut mahu dipotong. Cara yang paling mudah untuk memotong daging ini adalah semasa daging dalam keadaan separa beku. Urat daging tersebut akan lebih jelas kelihatan dan dengan itu memudahkan kita untuk memotong daging.
Perlu diketahui bahawa potong ikut urat akan menghasilkan tekstur daging yang liat dan lebih kukuh, manakalan potong lawan urat atau jangan potong ikut urat akan menghasilkan tekstutr daging yang lebih lembut.
Manakala gambar di bawah merupakan cara bagaimana anda mahu membuat potongan daging melawan arah urat untuk mendapatkan tekstur daging yang lebih lembut.
Berdasarkan gambar tersebut, arah grain menghala pada daging ditanda dengan anak panah bewarna biru. Cara memotong daging untuk tekstur yang kurang kenyal ditanda dengan anak panah bewarna hitam.