“Dalam video awak cakap ikan makan dua ekor sahaja, sebenarnya total makan enam hidang.”
Demikian antara penjelasan pemilik Dol Mat Seafood berhubung perkongsian ketidakpuasan hati isteri penyanyi, Mawi, Ekin Rahmat yang mendakwa harga yang dikenakan oleh kedai tersebut terlampau mahal.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, wanita yang mengaku pemilik Dol Mat Seafood memperincikan menu dipesan Ekin untuk 20 orang makan, termasuk pecahan harga bagi setiap lauk.
“Assalamualaikum, Mak Cik owner gerai No. 14 Dol Mat Seafood. Tujuan video ini dibuat untuk memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial oleh selebriti tanah air yang tidak berpuas hati dengan harga makanan yang tidak memuaskan.
“Pada 30 September, waktu petang mereka datang ke kedai saya dalam 20 orang termasuk kanak-kanak. Di sini saya ingin senaraikan makanan yang dimakan;
Nasi putih 4 hidang, 1 hidang untuk 5 orang makan (RM10) x 4 = RM40
Baby Kailan 3 hidang, 1 hidang untuk 3 orang makan (RM18) x 3 = RM54
Pari Bakar 3 hidang, 1.8 kilogram, RM9 setiap 100 gram = RM162
Siakap Tiga Rasa 2 ekor, 1 ekor RM48 x 2 = RM96 Siakap Stim bernilai RM48.
Udang Butter 3 hidang, 1.6 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM14 = RM224
Sotong Tepung 3 hidang, 1.6 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 = RM144
Ketam Cili 1 hidang ada dua ekor, berat 1.5 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 = RM135
Ketam Telur Masin 1 hidang dua ekor, berat 1.5 kilogram, setiap 100 gram bernilai RM9 setiap = RM135
Telur dadar 5 hidang, 1 hidang 3 biji RM6 = RM30
Siput Gonggong satu pek RM30
Minuman dan otak-otak = RM162
Perincian harga mengikut menu yang disenarai pemilik kedai makan tersebut membawa jumlah yang dibayar Ekin RM1,260.
Dalam pada itu, pemilik kedai makan di Johor itu turut menafikan kenyataan isteri penyanyi lagu Kian itu yang mendakwa hanya memesan dua ekor ikan sahaja.
“Ini adalah details harga makanan yang dimakan pada hari itu. Kalau belum jelas boleh datang jumpa Mak Cik,” katanya mengakhiri video tersebut.