Jenama kopi terkenal buatan Malaysia, ZUS Coffee terus mengorak langkah dalam pasaran menerusi jalinan kerjasama dengan jenama pakaian terkenal, Bulan Bintang.
Kerjasama ini dimeterai menerusi pengenalan kempen Ramadan-Raya ZUS Coffee, Seribu Warna ZUS.
Menurut Timbalan Presiden Pembangunan dan Pemasaran ZUS Coffee, Stephy Foong, mereka memperkenalkan dua minuman baru eksklusif iaitu Vietnamese Spanish Latte dan Watermelon Berry Refresher.
Kedua-dua minuman ini diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan produk ZUS Coffee terutama pada waktu sahur dan berbuka puasa.
“Kita dapat banyak maklum balas daripada pelanggan kita macam kita nak sahur atau berbuka puasa dengan ZUS Coffee.
“Tapi pukul 5.30 pagi, mana ada kedai buka kan. Keistimewaan kopi kita ialah kita buat dalam bentuk botol satu liter,” katanya seperti dilaporkan dalam Astro Awani.
Stephy menyifatkan kerjasama ini bagus untuk kedua-dua jenama kerana kedua-duanya memiliki tenaga orang muda.
Selain itu, ini dilihat mampu meraikan kepelbagaian dan keunikan budaya yang wujud di Malaysia.
“Jadi, untuk dua jenama ini, kita unik dan kita dibuat di Malaysia. Jadi, kita bekerjasama untuk meraikan dan mencipta sesuatu yang menarik,” tambahnya.
Kerjasama ZUS Coffee & Bulan Bintang ini diumumkan dalam acara peragaan The Terrrrpaling Raya Fashion Show anjuran Bulan Bintang di Sentul Depot baru-baru ini.
Sumber: Astro Awani & Laparpo