Bila tiba waktu Ramadan, pastinya hidangan sahur menjadi perbincangan ramai kerana sahur merupakan hal yang perlu dalam berpuasa.
Hidangan yang sihat dan mengenyangkan amat penting untuk kita kekal bertenaga ketika berpuasa.
Seperti hantaran hidangan puasa yang tular oleh Sonny Bill Williams, lagenda ragbi itu berkongsi menu sahur menerusi akaun X rasmi miliknya.
“Hidangan sahur saya. Sedap dan ringkas, lima telur dan bubur dengan krim dalamnya. Air minuman gelas besar beserta madu dan garam. Bismillah,” tulisnya.
Tambah bekas pemain bintang All Blacks itu, dia meluahkan kegembiraan setiap kali ketibaan Ramadan kerana dapat bersama keluarga dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta.
“Salah satu perkara kegemaran saya tentang Ramadan ialah sahur bersama keluarga. Membangunkan anak-anak kecil, berkongsi hidangan, bercakap tentang Allah dan keberkatan dalam kehidupan. Ia sentiasa menjadi waktu yang istimewa,” tulisnya dalam satu hantaran berbeza.
Sebelum ini, lagenda ragbi itu turut dijemput dalam kempen Subuh Macam Jumaat yang mula diperkenalkan selebriti terkenal, Alif Satar sejak tahun lalu.
Dia juga berkata, dia berasa terharu apabila menerima sambutan hangat dan layanan mesra daripada rakyat Malaysia sejak tiba di negara ini.
Sumber: Sonny Bill Williams