Perjalanan hidup dan mati seseorang, sememangnya sudah ditakdirkan oleh Tuhan. Kematian orang tersayang harus direlakan kerana kita semua hanyalah pinjaman yang bersifat sementara.
Ketika berlaku kematian, pasti kita akan memberitahu dan memaklumkan berita tersebut kepada ahli keluarga dan sahabat handai terdekat untuk melihat jasad si mati buat kali terakhir.
Bercerita hal itu, perkongsian kisah yang dikongsi oleh seorang lelaki bernama Muhammad Syafiq yang diulang kongsi oleh media Isu Semasa Viral di laman Twitter menyedarkan kembali orang ramai. Dia berkongsi berkenaan kisahnya menghadiri ziarah kematian saudara yang membuka matanya.
Menerusi kisah tersebut, Syafiq menceritakan kekagumannya terhadap keluarga si mati tentang bagaimana mereka sekeluarga menitikberatkan semangat tolong-menolong. Ini dengan membawakan makanan tanpa putus untuk keluarga si mati.
Di dalam kisah ini, keluarga dan kenalan terdekat yang memberi makanan kepada keluarga si mati, bukan keluarga si mati yang harus sediakan makanan kepada tetamu.
“Petang ini hadir ziarah kematian seorang saudara kami yang telah meninggal dunia pagi tadi. Saat tiba, kelihatan 30 bungkus nasi kukus yang dibawa oleh kenalan keluarga si mati untuk makan tengah hari.
“Untuk sesi awal pagi, saudaranya yang lain juga telah bawa 30 bungkus nasi kerabu sebagai makan pagi untuk ahli keluarga si mati.
“Sebelum pulang, mereka memaklumkan akan ada saudara mereka yang lain akan bawa makanan untuk diberikan kepada ahli keluarga si mati yang datang ziarah pada waktu malam.
“Sesungguhnya keluarga mereka ini telah menghidupkan satu sunnah yang semakin dilupakan masyarakat pada hari ini. Memberi makan kepada ahli keluarga si mati,” jelasnya.
Selain itu, dia juga menambah bahawa tindakan dan amalan sebegini memang membantu pasangan tuan rumah yang kelihatan sangat penat sehingga tidak cukup rehat dari waktu sebelum subuh lagi. Apatah lagi nak sediakan makanan kepada yang hadir ziarah.
“Memang tak sempat nak layan semua kenalan dan saudara mara yang hadir. Semestinya tindakan ini juga menyenangkan keluarga si mati apabila sunnah ini dihidupkan oleh ketiga-tiga orang bersaudara yang menyediakan makanan ini,” ceritanya lagi berkenaan kisah hidupkan sunnah berkenaan.
Petang ini hadir ziarah kematian seorang saudara kami yang telah meninggal dunia pagi tadi.
Saat tiba, kelihatan 30 bungkus nasi kukus yang dibawa oleh kenalan keluarga si mati untuk makan tengahari. pic.twitter.com/ASDeXtWFaF
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) August 6, 2022
Melihat ruangan komen, ramai yang tersentuh hati dengan perkongsian tersebut dan menjadikan ia sebagai satu peringatan kembali kepada masyarakat tentang sunnah yang semakin pudar ini.
“Ingat lagi 20 tahun lepas, masa tu budak lagi. Ada member tu ayah dia meninggal, 7 malam jamu orang tahlil kat rumah. Tak dapat bayangkn kalau ahli keluarga aku meninggal, dah la hasil noreh getah pun cukup makan je. Sedih betul tengok member time tu, dah la tengah sedih hutang pulak kat kedai nak jamu orang,” kata netizen lain berkongsi pengalamannya.
Melalui perkongsian hidupkan sunnah ini, kita harus sedar bahawa sesungguhnya agama itu memudahkan, bukan menyusahkan.
Sumber: Muhammad Syafiq Ibrahim
Baca juga: “Grab Kurangkan Fare Rider Bukan Sebab Nak Makan Untung Besar, Ini Demi Kelangsungan Syarikat”