Siapa sahaja tidak mengenali Khairul Aming yang dikagumi ramai kerana Sambal Nyet keluaran beliau telah mencapai jualan RM1 juta dalam tempoh yang singkat.
Namun begitu, ada perkara yang tidak menyenangkan telah berlaku. Ada individu muncul mengambil kesempatan di atas populariti Sambal Nyet tersebut dengan mengaku sebagai reseller, namun sebenarnya menjual produk palsu.
Menurut perkongsian Khairul Aming di Twitter miliknya, individu tersebut telah menjual hampir 700 botol sambal yang turut menggunakan label yang sama seperti yang asli. Rata-rata pembeli produk palsu itu mengadu sambal yang dibeli basi, berbuih dan berasa masam.
Susulan dari kejadian itu, Khairul Aming telah meminta bantuan rakannya untuk membeli daripada individu tersebut. Ternyata, sambal berkenaan bukanlah sambal asli seperti yang didakwa kerana sambal tersebut mempunyai pelekat yang pudar, poskod menggunakan tulisan berbeza dan tekstur sambal juga berbeza.
Ekoran daripada itu, Khairul Aming telah membuat laporan polis dan berpesan supaya orang ramai agar tidak terbeli sambal berkenaan.
Sumber: @khairulaming