Dengan hanya tiga menu iaitu laksam, mi celup dan colek malah sudah mampu untuk menarik ratusan pelanggan setiap hari bukan hanya pada hujung minggu.
Sasqia Dahuri, pelakon Malaysia yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan tidak menyangka kedai makan miliknya itu akan mendapat sambutan hebat di Singapura.
Gerai makan yang dinamakan Kelate.sg ini telah mula beroperasi pada 8 Februari lalu. Pada hari pertama pembukaannya, gerai makan terpaksa ditutup awal berikutan jualan sold out (habis dijual). Gerai makan tersebut dibuka pada jam 8 pagi sehingga 2 petang.
Kehadiran pelanggan masih tidak putus-putus sehingga sekarang untuk menikmati masakan asal negeri Che Siti Wan Kembang itu.
“Kami mencuba ketiga-tiga menu yang ditawarkan. Ternyata ianya sangat sedap. Lepas rindu masakan Kelantan,” kata Zafran Jani, warga Malaysia yang bekerja di sini.
Berasal dari Johor, Zafran yang datang bersama seorang rakan juga mengharapkan pemilik gerai itu akan memasukkan menu Kelantan kegemarannya, iaitu nasi kerabu pada masa akan datang.
Seorang lagi pelanggan dikenali sebagai Salwani Abdullah yang membesar di Kelantan berkata, pemilik gerai itu mampu mengekalkan ketulenan masakan negeri pantai timur tersebut.
“Puas hati. Dapat juga akhirnya kami nikmati masakan asal Kelantan di sini. Apatah lagi artis kegemaran saya yang memasaknya,” kata warga Singapura yang datang bersama ibunya.
Menurut Sasqia Dahuri, perniagaannya itu bermula secara suka-suka sahaja dengan menjual laksam resipi ibunya menerusi home based delivery ketika Singapura menguatkuasakan perintah kawalan ketat circuit breaker selama lapan minggu bagi mengekang Covid-19 pada tahun lalu.
Sehingga suatu hari dia tidak mampu lagi lakukan keseorangan apabila tempahan laksam mencecah 300 hingga 400 pek sehari.
“Suami dan dua lagi rakannya yang mula menyukai laksam turut mengesyorkan agar saya melakukan dengan lebih serius,” katanya yang mengahwini warga Singapura pada 2018.
Menurut Sasqia, Kelate.sg akan menambah menu nasi kerabu sedikit masa lagi dan akan menjual menu nasi dagng serta nasi berlauk pada masa akan datang.
Kini, Sasqia turut dibantu beberapa orang pekerja bagi memastikan rasa masakan kekal tidak berubah. Dia juga sedang memikirkan untuk mewujudkan central kitchen atau dapur berpusat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Nama gerai: Kelate.sg
Alamat: 93, Lorong 4, Toa Pyoh, Singapure.
Sumber: Astro Awani