Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 707K followers
  • 306K followers
  • 99.6K Followers
Home » Berita » Kedai Muhibah Pelbagai Kaum – Tarikan Kedai Kopi Ah Meng Jadi Tumpuan, Dibuka Dari Tahun 1947 Lagi!

Kedai Muhibah Pelbagai Kaum – Tarikan Kedai Kopi Ah Meng Jadi Tumpuan, Dibuka Dari Tahun 1947 Lagi!

Kategori: ,
Kedai Kopi Ah Meng

Kedai Kopi Ah Meng dekat Taman Pilah Jaya di sini cukup sinonim dengan penduduk daerah ini kerana ia menjadi tumpuan pelanggan pelbagai kaum untuk bersarapan.

Menurut Harian Metro, ketika penulis menjengah ke dalam kedai kopi yang berusia lebih 70 tahun ini, penulis dapat membayangkan suasana harmoni yang menggambarkan imej sebenar nilai muhibah rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Kedai Kopi Usia Lebih 70 Tahun

Loke Kam Fong, 52, generasi ketiga yang menguruskan kedai itu berkata, premis yang terletak di kawasan perkampungan Melayu itu memang menjadi kegemaran masyarakat Melayu sejak ia dibuka.

“Kedai kopi ini yang menyediakan sarapan dibuka pada 1947 oleh datuk saya, Tan Choon Hee. Antara menu istimewa yang kekal menjadi permintaan pelbagai kaum sehingga ke hari ini adalah roti kaya, telur separuh masak dan kopi.

“Kami hasilkan kaya sendiri yang memakan masa lima jam untuk dihasilkan dalam satu-satu masa. Jika dahulu, kopi yang kami hidangkan kepada pelanggan digoreng sendiri oleh datuk namun kini kami sudah mempunyai pembekal,” katanya ditemui.Kedai Kopi Ah Meng Kedai Kopi Ah Meng

Kam Fong yang menguruskan kedai kopi itu bersama suaminya, Tan Chau Fei, 52, berkata, mereka mengambil alih premis itu selepas Ah Meng atau nama sebenarnya Tan Yong Ming meninggal dunia pada 2018.

“Setiap pagi, ramai pelanggan daripada pelbagai kaum datang bersarapan. Selain dua menu istimewa itu, kami juga ada mi kari yang diusahakan rakan Melayu selain nasi lemak dan kuih-muih tradisi Melayu yang diletakkan peniaga lain.Kedai Kopi Ah Meng

“Meskipun suami dan saya mengusahakan kedai ini namun hampir keseluruhan pekerja membabitkan orang Melayu. Memang ini yang diamalkan sejak dulu hingga kini.

Kami Ambil Ramai Pekerja Melayu, Mahu Pelbagai Citarasa AdaKedai Kopi Ah Meng

“Ini mungkin satu daripada faktor kedai ini menjadi tumpuan pelbagai kaum untuk bersarapan. Ketika mengambil alih kedai ini, saya seronok melihat suasana ini kerana pelbagai kaum dapat duduk dalam satu tempat, bergaul, berborak dan menikmati makanan dalam suasana harmoni,” katanya.

Pelanggan, S Arumugan, 62, berkata, dia jatuh cinta dengan kedai dan menu kedai berkenaan sejak empat tahun lalu dan tidak akan melepaskan peluang membawa isterinya untuk bersarapan jika ada masa terluang.

“Menunya ringkas sahaja, tetapi mungkin suasana kedai yang seperti warung dengan elemen kaum Cina menyebabkan saya selesa dan jatuh cinta dengan kedai ini,” katanya.

Pelanggan dari Seremban, Muhammad Amin Rahim, 30, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjamu selera di Kedai Kopi Ah Meng jika ke Kuala Pilah.

Suka Makan Di Sini Kerana Ciri-Cirinya Yang Pelbagai Kaum – Pelanggan

“Saya suka melihat suasana kedainya yang masih mempunyai ciri-ciri kaum Cina namun dikunjungi pelanggan pelbagai kaum. Ia memang betul-betul menggambarkan masyarakat majmuk negara ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Baca juga: Peniaga Jujur Jual Karipap Inti Oksigen, Siap Tulis & Jual Pada Pelanggan. Ramai Yang Tanya Tempat Kat Mana..

tags: | |