Pempengaruh terkenal, Khairul Aming tidak membuka tabung banjir dan memaklumkan perkara itu di media sosial susulan ramai yang bertanyakan tentang nombor akaun untuk mereka menderma.
Jelas Khairul Aming, dia tidak boleh sesuka hati membuka tabung bantuan kerana ia perlu mendapatkan permit terlebih dahulu.
Tambahnya, dia juga risau terlepas pandang amanah duit orang lebih-lebih lagi diwaktu genting ini memandangkan perlu menguruskan banyak hal.
Walau bagaimanapun, usahawan terbabit menyatakan jika ada mana-mana pihak yang mahu memberikan barangan untuk diedarkan kepada mangsa banjir, mereka boleh meninggalkan ke beberapa lokasi yang akan dinyatakan.
Dia turut mendedahkan bahawa pempengaruh, Pin Yang juga telah memberikan sumbangan yang cukup besar kepadanya bagi mengelola bantuan kewangan buat mangsa-mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas terutamanya di Pantai Timur.
Jadi, pemilik nama sebenar, Khairul Aming Kamarulzaman ini memaklumkan yang dia akan menggunakan duit-duit dari Pin Yang serta pihaknya sendiri untuk bantuan-bantuan segera.
Di kesempatan itu, usahawan berkenaan menyatakan yang bantuan pakaian dalam buat golongan wanita sangat diperlukan mangsa-mangsa banjir ketika ini kerana ramai yang keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang memandangkan air naik begitu cepat sehingga tidak dapat membuat sebarang persediaan
Terdahulu, Khairul Aming telah memaklumkan akan segera memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir selepas tiba di Kelantan semalam untuk menjalankan misi bantuan.
Pada hari pertama disana, pihaknya telah mengedar 800 bungkus makanan dan akan memberikan barangan keperluan menggunakan lori pada hari berikutnya.
Sumber: KA & Malay News