Hello penggemar kopi di luar sana? Dah try Kenangan Coffee yang baru buka di Malaysia? Korang mesti try dan ini info menarik bagaimana Kopi Kenangan (nama sebenar) memilih Malaysia sebagai negara cawangan yang pertama.
Kopi Kenangan, rangkaian makanan dan minuman (F&B) paling pesat berkembang di Indonesia membuka cawangan pertamanya, Kenangan Coffee di Malaysia dan menyasarkan untuk mempunyai 10 rangkaian menjelang suku pertama 2023.
Menurut Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersamanya, Edward Tirtanata berkata, pihaknya yakin dengan pasaran di negara ini. Disebabkan itu, mereka memilih Malaysia menjadi lokasi pertama cawangannya dibuka dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Katanya, Malaysia menyaksikan peningkatan tahun ke tahun bagi penggemar kopi dan pihaknya mahu mengeksport kejayaan fenomenal model kopi grab-and-go di Indonesia ke pasaran luar negara, bermula dengan Malaysia.
“Kami akan memfokus kawasan di Lembah Klang sebelum memasuki negeri lain dan paling penting kami memilih Malaysia sebagai pengembangan pasaran pertama kami.
“Ini kerana kecintaan rakyat Malaysia terhadap makanan, pertumbuhan berterusan dalam budaya kopi dan banyak persamaan yang dikongsi oleh rakyat Malaysia.
“Masa depan sektor F&B juga kelihatan menjanjikan kerana Malaysia sedang berubah menjadi ekonomi digital berpendapatan tinggi dengan tumpuan utama pada pendigitalan yang selaras dengan operasi perniagaan kami.
“Kami memulakan Kopi Kenangan dengan tujuan menjadikan kopi berkualiti mampu milik dan boleh diakses oleh semua orang.
“Dan kami sangat teruja untuk berkongsi rasa kopi Indonesia kami dengan rakyat Malaysia,” katanya tentang pembukaan Kopi Kenangan di Malaysia.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaannya, James Prananto.
Sementara itu, Kenangan Coffee akan membuka empat lagi kedai di MyTown Cheras, Pavillion KL, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid PJ menjelang akhir tahun ini.
Edward berkata, pihaknya juga melancarkan akademi latihannya di Uptown, Petaling Jaya untuk menyediakan pelbagai program latihan kepada barista dan pekerjanya.
Mereka bermatlamat untuk menjadikannya sebagai pusat latihan F&B profesional terbaik di Malaysia.
Sumber: Harian Metro