Malaysia hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Namun begitu, ia tidak menjadi penghalang untuk rakyatnya bersatu padu. Malah, dengan adanya perbezaan ini, ikatan akan lebih dekat kerana dapat mengenali di antara satu sama lain.
Seperti kisah tular tentang cerita orang Cina membahagikan bungkusan nasi kepada Muslim untuk berbuka puasa semalam, ia menjetik hati orang ramai tentang kesepaduan rakyat Malaysia yang aman damai, tanpa melihat latar belakang kaum dan agama.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang lelaki dengan nama Muhammad Rusydi di laman Facebooknya.
Dia menceritakan bagaimana dia terkejut dan kagum apabila dia melihat seorang lelaki dan wanita Cina sibuk membahagikan nasi di perkarangan Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan.
“Peristiwa istimewa di perkarangan Masjid Muhammadi Kota Bharu pada jam 6.50 petang. Sebuah kereta berhenti di luar pagar pintu Masjid Muhammadi.
“Lalu keluar seorang lelaki Cina membahagikan bungkusan nasi untuk orang Muslim. Saya memerhati dari jarak 2 meter dari mereka. Penerima bungkusan tersebut beratur dalam satu saf. Ada muslim dan ada yang non muslim,” katanya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya lagi, apabila selesai pembahagian makanan tadi, dia mendekati lelaki dan wanita Cina itu dan bertanyakan nama mereka.
“Saya merapati mereka. Lelaki itu menjawab ‘ambo Chua’ dan ‘kita Tan’, sahut perempuan Cina itu dalam loghat Kelantan yang cukup pekat.
Lelaki dan wanita Cina itu menceritakan bahawa mereka mengagihkan makanan itu atas arahan majikannya, yang mungkin merupakan seorang non-muslim juga. Mereka juga menyatakan bahawa amalan memberi makanan kepada muslim berbuka puasa itu sudah dilakukan sejak sekian lama.
Sebelum azan berkumandang, lelaki Melayu berkenaan sempat mengajak untuk makan sekali berbuka puasa tetapi ditolak dengan penuh hemah kerana lelaki Cina itu mengatakan bahawa dia segan kerana berseluar pendek.
“Manis dan nikmatnya Islam jika kita ikut pedomaan Rasul. Tiada kebencian. Hilang permusuhan,” katanya menutup hantaran tersebut.
Kisah orang Cina bagi makanan muslim buka puasa ini telah menyentuh ramai hati yang membacanya. Semoga kisah ini dapat menjadi bukti bahawa kita dapat hidup aman damai jika toleransi dan kemanusiaan diutamakan.
Sumber: Muhammad Rusydi
Baca juga: Kenaikan Harga Jualan Bazar Ramadan Kerana PBT Naikkan Harga Kos Sewa Tapak, Bukan SST – PM