Kemana tumpah kasihnya ibu kalau bukan kepada anak-anak, kan? Ibu bapa menjaga anak-anak bagai menatang minyak yang penuh, pasti sokongan dan dokongan diberikan kepada anak-anak untuk meniti kehidupan dalam dunia yang serba cedera ini.
Seperti sebuah video yang tular baru-baru ini di laman TikTok, seorang ibu menunjukkan sokongan dan kasih sayang kepada anak lelakinya yang bekerja di sebuah pasar malam. Dokongan itu telah menyentuh hati netizen apabila melihat reaksi lelaki berkenaan dan kesungguhannya bekerja untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri.
Di dalam video berkenaan, boleh dilihat lelaki berkenaan terperanjat apabila melihat ibunya sendiri datang menyokongnya dalam berniaga. Menurut ibunya, itu adalah cita-cita anaknya yang ingin menjadi seorang peniaga makanan dengan menjual hidangan menu Kelantan yang sedap kepada orang ramai.
“Petang ni mama prank anak bujang mama, Syazwan sedang berniaga dipasar malam. Syabas sayang kerana gigih bekerja sebagai peniaga makanan menu Kelantan. Semoga Wan terus berjaya dalam mengejar cita-cita dan menjadi ahli perniagaan makanan yang berjaya dan cemerlang, amin.
“Mama tetap berteguh di belakang Wan. Sokong apa yang anak-anak suka,” luah ibunya yang menyokong pekerjaan murni anaknya itu menerusi video di pasar malam tempat anaknya bekerja.
Menerusi video itu lagi, kelihatan gerainya mendapat sambutan hangat oleh orang ramai yang beratur untuk membeli juadah di situ.
@norlinaalawi♬ Alhamdulillah – Opick & Amanda
Melihat ruangan komen, ramai yang terharu melihat hubungan mereka anak beranak. Ibunya menjadi contoh ibu yang positif kerana sentiasa menyokong apa sahaja yang anaknya lakukan. Asalkan pekerjaan itu halal dan murni serta baik di sisi masyarakat.
“Muka dia pun dah macam muka penarik rezeki. Muka tenang. Semoga terus berjaya bro. Doa ibu adalah segalanya,” kata seorang netizen mendoakan peniaga lelaki pasar malam berkenaan.
“Handsomenya anak mama, eh anak makcik. Rajin. Moga berjaya dalam perniagaan,” seloroh seorang netizen bernama Jasmin tanda bergurau.
Semoga anak muda terus maju ke hadapan dan kuat dalam mencari rezeki. Di zaman ekonomi yang terumbang-ambing ini, mereka memang memerlukan sokongan sekeliling terutama ahli keluarga untuk terus melangkah jauh. Semoga ekonomi Malaysia terus meningkat ke hadapan untuk membina generasi yang cerah.
Sumber: Norlina Alawi