Berbanding suami, si isteri akan lebih mudah merajuk. Ini kerana para wanita sudah dilahirkan dengan sifat manja dan ingin dilayan selalu. Sudah tentu apabila berbual, mana-mana wanita ingin pasangannya memberi perhatian penuh dan tidak sibuk dengan hal lain. Hal itu akan membuat mereka berasa seperti disayangi. Kalau tak dilayan, sudah tentu mereka akan cepat merajuk.
Bila bermasam muka, si isteri juga memerlukan sedikit masa dan tidak mahu bercakap. Malas dan sakit hati, nak bertegur pun dah sakit hati. Namun bila sudah bergelar wanita, perasaan marah itu tidak lama. Ini kerana ada beberapa situasi memerlukan bantuan suami.
Kecewa dan merajuk dengan suami kerana tidak dilayan ketika mereka sedang berbual, seorang wanita bermasam muka dan tidak mahu menegurnya. Hal itu kerana wanita itu paling tidak suka apabila seseorang itu tidak fokus pada dirinya ketika sedang bercakap.
Walaupun terasa hati, wanita itu terpaksa juga mengejutkan suaminya pada jam 3 pagi semata-mata untuk meminta supaya dia menemani untuk menyediakan nasi lemak sebagai sarapan pagi. Mungkin kerana berasa sedikit takut untuk memasak seorang diri dalam keadaan sunyi sepi, wanita itu terpaksa mengejutkan suaminya dari tidur untuk bantunya di dapur meskipun masih lagi merajuk dengannya.
Sambil dia menyediakan sambal dan nasi lemak itu, suaminya juga turut membantu dan turut menggoreng ikan di dapur. Hasil masakan mereka nampak sungguh menyelerakan!
Bila sudah berkahwin, hal sebegini tidak dapat dielakkan. Kadang-kadang ada juga masanya kita akan terasa hati dengan tindakan pasangan sendiri walaupun ia kelihatan seperti perkara kecil buat orang luar. Namun begitu, ia merupakan sesuatu yang tidak elok jika kita terasa hati dan bermasam muka terlalu lama dengan pasangan. Seeloknya cepat-cepatlah berbaik seperti dahulu supaya hal itu tidak terus diperbesar-besarkan.