Seperti kita sedia maklum, bekalan minyak masak paket bersubsidi memang sedang kekurangan di negara Malaysia. Minyak bersubsidi disediakan kerajaan tujuannya adalah untuk membantu para golongan yang susah dan memerlukan.
Bermula 1 Julai pula, minyak botol untuk 5KG berat boleh mencecah RM50 sebotol. Ia memang terkesan kepada rakyat yang masih terkapai dalam fasa ekonomi yang terumbang-ambing ini.
Terbaharu, berita yang mengejutkan dilaporkan oleh Astro Awani tentang minyak subsidi banyak dijual di Selatan Thailand. Di Narathiwat,, isu bekalan minyak masak di Kelantan khususnya minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram ada kaitan dengan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
Dalam kegawatan minyak masak di Kelantan dengan pembelian di kedai runcit dihadkan kepada satu atau dua kilogram sahaja, lain pula yang terjadi di selatan Thailand.
Khususnya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi, tiada pembelian dihadkan untuk minyak masak paket satu kilogram.
Seorang warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Abe Mat Sulaiman memaklumkan kepada Astro Awani tentang penjualan minyak masak bersubsidi yang diseludup di Kelantan. Ia banyak dijual di premis perniagaan di sana.
“Minyak masak paket pelbagai jenama dari Malaysia mudah didapati di sini. Bahkan boleh dikatakan berlambak-lambak dijual di hampir banyak kedai runcit.
“Peniaga menjual dengan kadar harga 55 Bath (sekitar RM7) di pasar dan juga kedai runcit,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
“Orang sini (Thailand) tak ada masalah bekalan minyak masak dalap paket ini, sebab sentiasa ada dan jarang habis stok,” katanya yang tinggal di sebuah kampung di Narathiwat ketika di tanya berkenaan minyak masak subsidi Malaysia.
Menurutnya lagi, harga minyak masak dari Malaysia lebih murah jika dibandingkan dengan minyak masak Thailand yang berharga 77 Bath (RM10.30).
“Orang Thailand suka beli minyak masak Malaysia kerana lebih murah iaitu 50 hingga 55 Bath untuk paket satu kilogram, berbanding minyak masak keluaran Thailand yang dijual dalam botol dengan harga 77 Bath.
“Tiada had pembelian minyak masak Malaysia di sini, kalau nak beli 12 paket pun boleh, asal ada duit,” jelasnya.
Jelas Abe Mat lagi, rakyat Thailand tidak mempunyai masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi.
Bahkan, menurutnya lagi, minyak masak dari satu hingga lima kilogram jenama terkenal dari Malaysia turut dijual di Selatan Thailand.
Bagaimanapun, harganya agak tinggi serta kurang mendapat sambutan kerana bekalannya sukar diperoleh.
Untuk rekod, minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram dijual pada harga RM2.50 di Kelantan.
Namun mutakhir ini bekalan minyak masak bersubsidi berdepan dengan kekurangan bekalan dengan kebanyakan peruncit hanya boleh menjual satu dua paket shaja kepada pelanggan.
Persoalannya isu minyak masak subsidi Malaysia ini memang banyak hal yang harus dibincangakan. Bagaimana hal ini boleh terjadi, sedangkan di sini rakyat bergelut dengan harga minyak masak melambung dan kekurangan minyak masak subsidi?
Sumber: Astro Awani
Baca juga: Jual Roti Canai RM1 Sejak 2016, Tak Sanggup Naikkan Harga Kerana Kasihankan Pelanggan