Seperti yang kita tahu, nasi kerabu sudah menjadi juadah yang cukup sinonim bagi negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Ada juga penggemar makanan tempatan yang sanggup merantau sampai ke Kelantan untuk dapatkan nasi kerabu asli Kelantan.
Nak tahu kedai nasi kerabu mana yang paling best ? Jom kita semak port nasi kerabu paling best di Kelantan !
Sering menjadi pilihan orang setempat dan pelancong, Liniey Nasi Kerabu Tumis yang terletak di Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu ini memang tak pernah reda daripada kunjungan pelanggan.
Antara keistimewaan yang ditawarkan di sini adalah nasi kerabu ala Golok yang dipadankan dengan sambal tumis.
Anda juga pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan lauk-pauk yang dihidangkan di sini seperti ayam, daging, kambing, puyuh serta ikan. Jangan lupa juga untuk letak solok lada bila beli nasi kerabu di sini.
Alamat : Jalan Abdul Kadir Adabi, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari dari 7.30 pagi hingga 2.00 petang
Jika anda bertanya kepada orang Kota Bharu di mana nak dapatkan nasi kerabu sedap, mereka pasti akan mengesyorkan Nasi Kerabu Panji.
Berbanding kedai lain yang menyajikan nasi kerabu bersama ayam goreng atau ikan goreng, Nasi Kerabu Panji pula padankan nasi kerabu mereka bersama kambing bakar ! Memang rugi kalau tak cuba !
Nasi Kerabu Panji juga boleh dinikmati pada waktu sarapan kerana seawal 6 pagi ia sudah dibuka.
Alamat : Lot 947, Jalan Hospital, Kampung Belukar, 15000 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari bermula 6.00 pagi hingga 1.30 petang
Nasi kerabu terbaik di Kelantan yang seterusnya terletak di daerah Tumpat. Kalau anda ke sini, jangan lupa untuk cuba hidangan Nasi Kerabu Azma.
Anda boleh cuba pelbagai hidangan lauk-pauk untuk dimakan bersama nasi kerabu seperti gulai ikan, daging bakar dan ayam goreng.
Antara yang paling popular di daerah tersebut, restoran ini turut menyajikan pelbagai juadah asli Kelantan untuk santapan pengunjung.
Alamat : 1308, 3, Kampung Baharu, 16210 Tumpat, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari kecuali Jumaat bermula 4.00 petang hingga 9.00 malam
Mempunyai lokasi yang strategik, Rohani Restoran sering dibanjiri pengunjung yang sanggup singgah berdekatan Balai Bomba Kota Bharu untuk nikmati nasi kerabu enak.
Juga dikenali sebagai Kak Ani Kantin Bomba, restoran ini menyajikan nasi putih berbanding nasi berwarna biru untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Tak kisahlah biru atau putih, kalau dah sedap memang wajib cuba ! Lebih-lebih lagi kambing bakar serta ayam bakarnya yang sering menjadi sebutan pelanggan.
Alamat : 1103, Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari bermula 3.00 pagi hingga 2.00 petang
Kedai nasi kerabu yang terletak di Kuala Krai ini pula sering menjadi pilihan pelanggan yang suka hidangan nasi kerabu yang besar.
Memang puas, siap boleh kongsi lagi dengan rakan dan keluarga. Antara lauk-pauk yang menjadi pilihan di Su Warong Nasi Kerabu adalah ayam bakar, kambing bakar dan gulai ikan.
Seperti di Rohani Restoran, kedai ni turut menyajikan nasi putih sebagai nasi kerabu mereka.
Alamat : Jalan Kuala Krai, Kampung Sungai Batu, 16450 Ketereh, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari bermula 7.00 pagi hingga 3.00 petang
Nasi kerabu terbaik di Kelantan yang seterusnya ini lain daripada biasa. Kalau nasi kerabu Kak Ani Kantin Bomba hidangkan nasi putih, Jijah Nasi Kerabu pula sajikan nasi kerabu warna kuning !
Sehingga ke hari ini, Jijah Nasi Kerabu kekal sebagai port sarapan yang popular di Kota Bharu. Bila anda berkunjung ke sini, bersedialah untuk beratur panjang !
Kalau nak tahu, Jijah Nasi Kerabu juga pernah mendapat liputan media tempatan pada tahun 2017 sebagai kedai yang menerima bayaran melalui QR Pay dan Bitcoin. Canggih betul !
Alamat : 185, Jalan Tok Sadang, Kampung Pauh, 15350 Kota Bharu, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari kecuali Isnin, 6.00 petang hingga 12.00 tengah hari.
Nasi kerabu paling laris di Pasir Mas pula sudah pastinya Nasi Kerabu Daging Panggang @ Abe Yie. Nasi kerabu daging panggang yang menjadi pilihan utama pelanggan sering disajikan bersama sambal kicap.
Sememangnya membangkitkan selera dan menambahkan lagi rasa kesedapan nasi kerabu !
Tidak hanya daging bakar, malah pelanggan juga ditawarkan dengan pilihan hidangan bakar lain seperti perut bakar dan lidah bakar. Di mana lagi anda boleh dapat hidangan bakar rare macam ni ?
Alamat : Jalan Salor, 15100 Pasir Mas, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari, bermula 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari
Antara kedai nasi kerabu yang paling laris di Tanah Merah, Nasi Kerabu Kak Zah menambat perhatian ramai dengan keenakan nasi kerabu yang disajikan dengan saiz hidangan yang besar.
Jarang ditawarkan oleh kedai lain, Nasi Kerabu Kak Zah menyajikan gulai ayam istimewa untuk dipadankan bersama nasi kerabu. Memang ngam, rugi tak cuba !
Alamat : Warung Selera Kampung, Kampung salak, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Waktu Operasi : Setiap hari, 7.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Bila anda berkunjung ke Kelantan, jangan lupa untuk cuba kedai nasi kerabu terbaik di Kelantan yang disenaraikan.
Setibanya anda di sini, barulah anda tahu yang nasi kerabu bukanlah berwarna biru semata-mata,malah ada juga nasi kerabu yang berwarna kuning dan putih.
Yang pasti, semuanya sedap-sedap belaka dan tawarkan kelazatan yang berbeza. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dapatkan juadah enak dengan citarasa lokal.