Dalam hidup yang serba kekurangan ini, berbuat baik sesama kita adalah satu keperluan bagi menjalani hidup yang terkadang tidak jelas ini.
Seperti satu kisah yang dikongsikan oleh Sinar Harian, sepasang suami isteri telah menolong orang ramai yang kurang berkemampuan dan kelaparan.
Pernah menjalani kehidupan susah suatu ketika dahulu, ia mendorong mereka menawarkan makanan secara percuma kepada golongan memerlukan termasuk pelajar di daerah ini.
Pengalaman tersebut membuatkan pemilik restoran D’Tok Ngulu, Arlimin Che Ayob, 41, dan isterinya, Nor Solihah Nasir, 36, bermurah hati untuk menghalalkan setiap hidangan yang dimakan pelanggan di restorannya sekiranya mereka tidak mempunyai wang.
Bagi membuktikan usaha itu, dua pemberitahuan diletakkan dalam restoran milik mereka yang berbunyi “Kepada yang betul-betul tak ada duit nak makan dan minum, jangan malu jangan segan. Makan la sampai kenyang. Bagitau saya atau staff-staff saya. Kalau segan atau malu nak bagitahu, buat senyap-senyap je.”
Inisiatif dilaksanakan sejak lima tahun lalu, kini tular di media sosial dan warganet memuji tindakan pemilik restoran terbabit yang disifatkan berniaga bukan sekadar mendapatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya mencari saham akhirat.
Arlimin berkata, niat untuk memastikan tiada golongan memerlukan lapar membuat dirinya bersama isteri membuka sebuah restoran sebagai salah satu amal jariah mereka.
“Kita pun ada pengalaman dalam benda ini (tidak cukup duit untuk makan).
“Jadi, (disebabkan itu) saya buat konsep seperti ini (makan tanpa perlu bayar), ada yang malu hendak bagi tahu, tapi mereka lapar dan kita faham (situasi mereka).
Walaupun kaedah dikatakan tiada keuntungan, namun bapa kepada dua anak ini yakin amal jariah yang dilakukan dalam membantu golongan memerlukan mendapat balasan setimpal daripada ALLAH.
Katanya, restoran yang diuruskan sepenuhnya oleh isterinya masih bertahan sehingga kini, selain turut merasai nikmat daripada usaha dilakukan.
“Kita berpegang apa janji ALLAH dan alhamdulillah rezeki masih berlipat ganda walaupun kita beri makan secara percuma pada insan lain, namun masih ada individu yang (hadir) membantu apabila membuat bayaran lebih daripada jumlah hidangan mereka.
“Malahan, ada juga dalam kalangan mereka (pelanggan) mahu bersama untuk infaq sebahagian wang mereka untuk membantu kita meneruskan pemberian makanan secara percuma,” katanya yang memaklumkan isterinya adalah insan penguat semangat dirinya.
Arlimin bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan restoran dengan melaksanakan konsep yang sama pada masa akan datang.
Sementara itu, Nor Solihah berkata, usaha yang baik dilakukan oleh suami akan disokong dan dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Saya faham kerana pernah ada pengalaman susah ketika belajar, kita hargai sumbangan orang kepada kita.
“Jadi, tidak rugi apabila suami buat keputusan untuk jalankan perniagaan dengan konsep begini.
“Saya rasa benda ini (beri makan percuma) sebagai amal saya, untuk akhirat saya,” katanya.
Terima kasih untuk nota dinding restoran yang menyebarkan kebaikan dan kedamaian itu. Tuhan memberkati.
Sumber: Sinar Harian