Masa berbuka puasa adalah waktu yang dinantikan dengan penuh kegembiraan setiap hari dalam bulan Ramadan.
Ia tidak sekadar mengisi perut yang kosong, tetapi juga membawa bersama kebahagiaan dan kebersamaan di meja makan apabila menikmati juadah bersama.
Kebanyakan restoran atau kedai makan akan beroperasi untuk pelanggan menikmati juadah berbuka puasa.
Lantaran itu, pekerja di kedai makan biasanya akan kekurangan masa untuk menikmati juadah iftar kerana mereka biasanya akan makan sambil bekerja.
Oleh itu, pelanggan haruslah bertolak ansur dengan mana-mana pekerja kedai makan khususnya ketika waktu berbuka puasa.
Seperti kisah yang di kongsikan oleh pemilik sebuah restoran NoHana Ikan Bakar yang terletak di Kerteh, Terengganu, dia meluahkan rasa gembira dan terharu dengan tindakan pelanggan yang mengemas pinggan dan bekas minuman mereka setelah selesai makan.
Berdasarkan siaran di Facebook milik restoran tersebut. Dia memberitahu bahawa dia tidak meminta pelanggan yang berkunjung ke kedainya untuk berbuat demikian kerana mempunyai pekerja yang akan kemaskan meja.
Namun, dia amat gembira kerana pelanggan itu telah membantu pekerja di restorannya untuk mengemas pinggan dan bekas minuman.
Tindakan murni yang dianggap kecil itu telah menyentuh hati peniaga kerana bukan semua orang mampu berbuat begitu.
“Bab yang kita nak bagitahu adalah bila mereka sekeluarga dah siap makan, pinggan dan bekas minuman yang mereka gunakan, mereka kemas dan susun molek molek. Sudu dan pinggan lebih yang tak digunakan lagi diletakkan asing.
Sisa makanan diletakkan kat satu bekas. Kami tidaklah harapkan dan meminta pelanggan yang makan buat macam ni. Kami ada staff yang kemaskan. Tapi kami memang rasa terharu dan gembira ramai yang dah buat macam ini sekarang. Sangat-sangat membantu pasukan kami pada ketika ini. Dengan tempahan penuh setiap hari, bulan puasa pula tu, sangat mencabar juga bagi pasukan kami. Sebab ada staff yang terlambat berbuka puasa sebab nak pastikan semua pelanggan dapat makan tepat pada waktunya.
Siap ada yang pesan, “buka puasa dulu dik”.
Tapi melihatkan pada penampilan pelanggan semalam pun, kita dah boleh agak yang mereka orang yang beradab, cakap sopan santun dan baik baik.
Kami doakan agar mereka sekeluarga dimurahkan rezeki melimpah ruah, selamat dalam perjalanan dan dipermudahkan urusan kerana memudahkan urusan orang lain.”
Berdasarkan komen netizen di laman Facebook, ramai yang mengatakan mereka juga sering mengemas meja dan menyusun pinggan serta bekas minuman yang digunakan untuk memudahkan urusan pekerja lain.
“Saya Pun Suka Susun Dan Kemas Meja Serta Masukkan Kerusi Bawah Meja.Dah Terbiasa Tiap Kali Makan Di Kedai.Sekarang Suami Dan Anak2 Pun Buat Benda Yang Sama.InsyAllah Mudahkan Urusan Orang Lain Bagus Untuk Kita Juga”
“Saya pun suka begini sbb anggap kita makan dirumah. Takkan laa selepas makan di rumah, kita tak kemas? Keperibadian seseorang itu terlihat dari adab sopan serta tutur kata. Anak² pula cerminan ibu bapa.”
Berdasarkan kisah ini, budaya kemas meja selepas makan perlu dijadikan sebagai contoh yang bagus. Ini kerana selain dapat memudahkan urusan orang lain ia dapat juga membuatkan kita lebih berdisiplin apabila selalu dipraktikkan.
Sumber: NoHana Ikan Bakar