Sebagai kaum Melayu, kita sudah dididik sejak kecil untuk menjaga budi pekerti dan sentiasa menghormati orang tua pada setiap masa. Mungkin disebabkan oleh peredaran masa, ada kalanya kita dapati orang zaman sekarang makin hilang adabnya, lebih-lebih lagi ketika berada di tempat awam.
Seperti yang tular di TikTok baru-baru ini, seorang pengguna sosial media kecewa melihatkan gelagat seorang pelanggan dan seorang pekerja medan selera yang sudah agak berusia.
@wiwieriana sbg ingatan kita semua saling jaga adab dan hormat menghormati sesama insan. islam itu indah. islam itu sgt penyayang. penuh dgn kasih sayang.
Kata si pemilik video, dia tak sempat merakam detik kejadian kerana dia baru tiba di medan selera tersebut. Dia hanya sempat berkongsi reaksinya selepas kejadian.
Katanya, seorang lelaki berusia sekitar 40an cukup marah apabila baju Melayunya tertumpah sisa makanan sehingga kotor.
Walaupun staf yang sudah agak berusia itu memohon maaf, namun lelaki itu masih tidak puas hati dan tak teragak-agak untuk maki pekerja tua itu di depan khalayak ramai.
Menerusi video yang dimuatnaik wanita itu, memang jelas keadaan medan selera yang cukup padat dengan pelanggan.
Wanita yang cukup kesal dengan kejadian itu menganggar usia pekerja tersebut mungkin sebaya dengan ayahnya. Padanya, memang tak patut pekerja tersebut diherdik kerana dia bukan sengaja tumpahkan sisa makanan.
Meskipun raut wajah pekerja itu tidak dapat dilihat kerana memakai topeng muka, namun jelas dia cukup terkesan dengan makian dari pelanggan tadi.
Akibat kemalangan kecil itu, dia dilihat lebih berhati-hati dengan meletakkan troli pinggannya lebih jauh dari meja pelanggan. Dia juga sanggup untuk berjalan lebih jauh untuk elakkan terlanggar pelanggan lain.
Dalam video tersebut, si pemilik video juga dilihat sempat menyumbangkan sedikit wang buat pekerja tua ini. Justeru itu, ramai yang tampil di ruangan komen untuk berterima kasih sambil mendoakan agar wanita tersebut dimurahkan rezeki.
Sebagai orang yang lebih muda, kita juga perlulah menghormati orang tua tanpa mengira bangsa dan latarbelakangnya. Tambahnya lagi, tanpa pekerja ini, kita juga tak akan ada tempat yang bersih dan selesa untuk makan.
Bulan yang mulia ini sangat dituntut bagi kita untuk saling bermaafan. Janganlah kita terlalu mengambil hati dengan kesilapan yang tak disengajakan.
Semoga perkongsian ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk sentiasa menjaga adab dan menghormati orang tua tanpa mengira tempat dan masa.
Sumber : TikTok @wiwieariana