Baru-baru ini, jangkitan Leptospirosis atau kuman kencing tikus kian meningkat selepas orang ramai sudah mula ke pusat rekreasi untuk berkelah dan berkhemah bersama keluarga dan kawan-kawan.
Apabila dijangkiti kuman kencing tikus, anda akan mengalami gejala muntah, demam dan cirit-birit. Malah, ada juga beberapa individu yang telah meninggal susulan jangkitan tersebut.
Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia sudah menasihati pengunjung untuk lebih berhati-hati ketika berkelah, namun masih terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.
Baru-baru ini, sebuah video telah dimuat turun di laman Twitter dan mendapat perhatian warganet. Video yang berdurasi 13 saat itu memaparkan gelagat sekumpulan kawan yang seronok berkelah di kawasan sungai. Namun, ianya bukan perkelahan biasa kerana apa yang dilakukan mengundang reaksi negatif oleh orang ramai.
Gigih mencuci permukaan batu sungai dengan air sabun dan sejenis serbuk, mereka kemudiannya mengelap permukaan batu tersebut untuk menjamah mee yang telah dibawa. Menurut beberapa sumber, video tersebut dirakam di kawasan Lata Woh, Lanchang, Pahang.
Menjengah di ruangan komen, apa yang dilakukan membuat warganet berang. Seperti tidak menghiraukan kesihatan dan risiko jangkitan kuman kencing tikus, warganet nasihat untuk tidak terlalu seronok sehingga terlupa untuk befikir secara bijak.
Meskipun sudah lama tidak berkelah bersama kawan-kawan, jangan lah lupa untuk jaga kebersihan diri dan kawasan. Seronok sangat nanti boleh membawa padah jika tidak berhati-hati. Jangan kerana ingin viral, diri kita dan orang lain pula yang disusahkan.
Kredit: haqif_imtiazz