Sumber #No1 Syurga Makanan Seantero Malaysia & Asia

  • 728K followers
  • 316K followers
  • 102.1K Followers
Home » Berita » Perlis Teroka Potensi Tanaman Vanila, Buka Banyak Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Tersebut

Perlis Teroka Potensi Tanaman Vanila, Buka Banyak Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Tersebut

Kategori: ,
tanaman vanila

Tanaman vanila berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada petani di Perlis berikutan mempunyai nilai komersial yang tinggi selain sesuai ditanam dalam skala kecil sekali gus membuka peluang orang ramai menceburi bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata kerajaan negeri akan meneliti kaedah terbaik untuk mengembangkan tanaman itu bagi membantu masyarakat tani serta individu yang berminat dalam sektor pertanian.

Perlis Teroka Potensi Tanaman Vanila, Buka Banyak Peluang Pekerjaan Dalam Sektor Tersebut

“Kerajaan negeri akan melihat sebaik mungkin untuk melonjakkan masyarakat tani. Kita juga memberikan nasihat kepada individu yang berminat agar mereka dapat menjadikan tanaman ini sebagai sumber pendapatan isi rumah,” katanya selepas melawat Projek Tanaman Vanila di Kampung Kubang Gajah di Arau.

Mengenai projek tanaman vanila itu, Razali berkata ia projek pertama di negeri itu dan pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya untuk memastikan kejayaannya.

Sementara itu, pengusaha yang terlibat dalam projek berkenaan Nurul Aimi Syazana Baba, 32, berkata beliau bersama suaminya Zainudin Zainul Abidin, 38, mula berminat terhadap tanaman itu selepas menghadiri seminar anjuran kerajaan negeri tahun lepas.

tanaman vanila

“Saya hadir ke seminar yang dianjurkan YB Razali dan ketika itu seorang peladang dikenali Jaafar Mohamad dijemput sebagai penceramah. Selepas seminar, saya dan suami menghubungi beliau (Jaafar) untuk mendapatkan nasihat.

“Kemudian kami bertemu dengan peladang ini, dan hasil pertemuan kami mula membina rumah hijau dan mula menanam 100 benih pokok vanila ini bermula hari ini (semalam). Kos keseluruhan rumah hijau dan anak pokok menelan belanja sekitar RM5,000, setiap benih berharga RM15 sebatang,” katanya.

Perlu Pastikan Kelembapan Suhu Bersesuaian Untuk Tumbesaran

Nurul Aimi Syazana berkata mereka perlu memastikan kelembapan serta suhu bersesuaian untuk tumbesaran dan hasil pertama dijangka dapat dituai selepas pokok itu matang dalam tempoh tiga tahun untuk pokok berkenaan berbunga dan selepas pokok matang ia boleh dituai setahun sekali.

“Pada awalnya, saya hanya mahu menghasilkan perisa vanila untuk bertih jagung tetapi selepas menghadiri kursus dan mendapatkan pendedahan, kami mula serius dalam penanaman,” katanya sambil menambah kira-kira sekilogram hingga lima kilogram vanila dijangkakan terhasil daripada setiap pokok itu.

Sumber: Bernama

Baca juga: IKEA Malaysia Perkenalkan Menu Meatball Dengan Kualiti & Rasa Lebih Baik, Lebih Juicy & Banyak Daging

tags: |