
Pernahkah anda mengalami situasi di mana tiba-tiba terasa ingin membuang air besar atau kecil sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kedai seperti kedai Eco atau Daiso?
Anda tidak keseorangan jika terasa begini apabila masuk kedai Eco atau seangkatan dengannya. Fenomena aneh ini seringkali dialami oleh ramai orang, dan ia bukanlah satu kebetulan semata-mata.
Merujuk kepada Dr Raihanan Ismail menerusi akaun TikToknya, kemunculan rasa kurang selesa pada perut secara mendadak ketika berada di dalam kedai berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa dan terdapat penerangan ilmiah mengenainya.
“Ada penjelasan sains di sebaliknya. Nama benda ni adalah Mariko Aoki Phenomenon. Istilah ni asal dari Jepun yang pertama kali disebut dalam sebuah majalah pada tahun 1985 oleh seorang wanita bernama Mariko Aoki.
“Dia perasan setiap kali masuk kedai buku, dia akan rasa nak berak secara tiba-tiba. Lama-lama, ramai orang lain mengaku benda sama dan fenomena ni pun mula dikenali dengan nama dia,” ulasnya.
Fenomena yang mula disedari pada tahun 80-an ini kini diketahui berkaitan dengan kedai buku, dan juga kedai serbaneka seperti Eco dan Daiso, di mana bau bahan tertentu serta suasana dalam kedai memainkan peranan penting, menurut Dr. Raihana.
“Kedai Eco dan Daiso banyak barang baru. Plastik, buku, kertas. Bau spesifik ni boleh trigger reaksi dalam usus. Scented trigger ni akan aktifkan sistem saraf parasimpatetik yang kawal pergerakan usus.
“Suasana tenang, sunyi dan sejuk buat badan relaks. Bila badan relaks, sistem penghadaman pun aktif. Perut pun mula berbisik, sama macam kita duduk rumah tak ada gangguan,” terangnya lagi.
Tambahnya, ini bukanlah perkara yang patut dirisaukan kerana perkara ini sememangnya bukan berkaitan penyakit kritikal tetapi lebih kepada psikologi sahaja.
Sumber: Dr Raihanan