Sejak kebelakangan ini viral berkenaan dengan rempah Saffron yang dikatakan sangat bagus untuk kesihatan dan sangat mahal. Malah ia merupakan bahan masak termahal di dunia. Memiliki tiga komponen penting iaitu warna, rasa dan aroma yang khas, kebiasaannya bunga Saffron ditanam di Sepanyol, India dan Amerika.
Banyak restoran mewah dan orang kaya yang menggunakan Saffron ini sebagai bahan utama dalam masakan. Walaubagaimanapun, menurut Pakar Kimia, Dr Fatimah Salim menyatakan Saffron ini berbahaya untuk wanita mengandung.
Hal tersebut berbahaya dan boleh menyebabkan keracunan dan keguguran bagi wanita yang mengandung apabila dimakan dengan kuantiti yang berlebihan. Untuk lebih lanjut, mungkin anda boleh baca pendedahan yang dikongsikan oleh Dr Fatimah ini menerusi laman facebooknya.
Tahukah anda rempah saffron merupakan bahan masak yang termahal di dunia?
Ya. Ini kerana Saffron diperolehi daripada tangkai putik (stigma) bunga tumbuhan dari species Crocus sativus (famili Iridaceae). Dan setiap bunga hanya mempunyai 3 stigma (rujuk gambar di bawah). Untuk menghasilkan 450 g saffron, sekitar 75,000 bunga crocus diperlukan.
Walaupun mahal, ia digunakan secara meluas sebagai bahan tambah pewarna, rasa dan bau dalam makanan. Saffron mengandungi lebih daripada 150 bahan kimia meruap dari kumpulan terpene berserta alkohol dan ester terbitannya. Warna merah tersebut disebabkan oleh hadirnya bahan kimia terbitan carotenoid, iaitu crocin. Rasa pahit saffron disumbangkan oleh bahan kimia picrocrocin dan bau manis jerami (seakan rumput kering) saffron adalah disebabkan oleh bahan kimia safranal.
Selain dari dijadikan bahan tambah masakan, ia juga digunakan sebagai bahan perawat. Kajian menunjukan ianya boleh mengubah mood (merawat depresi dan PMS), membantu dalam merawat penyakit Alzheimer dan kanser, mengurangkan kekejangan otot dan pembengkakan luka juga bertindak sebagai antioksida.
Walaubagaimana pun, pengambilan bahan ini dalam kuantiti yang banyak adalah tidak selamat. 5 g boleh menyebabkan keracunan, 12-20 g boleh menyebabkan kematian. Antara kesan sampingan pengambilan saffron adalah pening, loya dan muntah, ketidakselesaan perut dan alergi. Disebabkan saffron boleh memberikan kesan kepada sistem saraf pusat, maka elakkan pengambilan saffron sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan.
Mengambil rempah ini dalam kuantiti yang banyak oleh wanita mengandung juga mungkin boleh menyebabkan keguguran. Kesan racun saffron ini disumbangkan oleh bahan kimia safranal dan crocin. Namun kesan racun ini mustahil dicapai hanya dalam penggunaan makanan biasa. Sama lah juga seperti pengambilan MSG.
Jumlah yang biasa dicampurkan dalam masakan hanyalah sedikit sekitar ~0.033 g untuk 5 orang makan. Tambahan pula, penggunaannya yang banyak memberikan rasa pahit dan mengganggu keseimbangan rasa makanan. Begitulah pentingnya tahu perkaitan kuantiti dan kesan racun sesuatu bahan. Maka, bersederhana lah dalam apa juga. Ambil tahu tahap kesihatan, dan peka dengan tindak balas badan terhadap apa juga makanan.
Sudah jelas kan sekarang mengenai Saffron ini? Nak makan dan diamalkan tiada masalah. Ianya sangat bagus untuk kesihatan dan tubuh badan manusia. Namun akan menjadi masalah apabila dimakan secara berlebihan. Jadi berhati-hati ya!
Sumber: Fatimah Salim
Baca juga: Tak Boleh Makan Buah Durian Dengan Manggis? Ini Pendedahan Sebenar Mengenainya