Resepi ayam bawang karamel hanya memerlukan 4 bahan utama sahaja iaitu ayam, bawang, dan bawang putih. Diperasakan sedikit dengan lada hitam, garam dan gula. Masakan ini boleh disajikan sama ada berkuah atau kering. Anda boleh ubah suai masakan ini mengikut citarasa anda.
Ianya amat ringkas tetapi sedikit leceh kerana anda kena pandai kawal api supaya ia tidak hangus. Anda boleh cuba resepi ini yang dikongsikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebook.
Cara Buat Ayam Bawang Karamel, Sangat Mudah Dan Menyelerakan
BAHAN-BAHAN (2-3 ORANG) :
- 1/2 ekor ayam (dipotong kecil)
- 1 biji bawang Holland
- 1 labu bawang putih
- 1 sudu kecil lada hitam
- Garam
- Gula
CARA PENYEDIAANNYA :
- Hiris bawang Holland dan kupas bawang putih terlebih dahulu.
- Guna sedikit minyak untuk tumis bawang sampai menjadi karamel. Saya gunakan kuali leper stainless steel sebab kalau guna non-stick, susah nak lihat bawang dah terkaramel ke dah terhangus.
- Tumis bawang putih dan bawang Holland dengan api yang besar. Kemudian, bila dan mula nampak bertukar warna kuning sikit, letak ke api sederhana. Ia mengambil masa kira-kira 2-3 minit dengan api besar untuk menjadi kuning.
- Pastikan ia tidak menjadi bawang goreng rangup. Kita nak dia perang tapi lembut. Tambah air kalau ia cepat sangat mengering.
- Kekalkan api kecil, sambung tumis sampai air kering dan kedua-dua bawang itu menjadi perang keemasan. Kalau kering sangat, tambah 2-3 sudu air dan sambung menumis.
- Masa ni bolehh masukkan 1 sudu gula dan 2 sudu kecil garam.
- Kemudian, tolak bawang ke tepi dan ‘sear’ atau goreng ayam menggunakan minyak minima dan tidak perlu tambah minyak. Gunakan api besar atau sederhana.
- Pastikan ayam bertukar perang sebelum terbalikkan. Lebih perang ayam, lebih baik kerana bahagian itulah yang akan menyumbang kepada kelazatan masakan ni nanti.
- Sekarang anda sudah boleh masukkan 1/2 cawan air. Kemudian, tambah gula dan garam mengikut citarasa. Reneh sampai air berkurang dan ayam masak. Bawang akan hancur.
- Kemudian, perasakan sedikit dengan lada hitam. Jangan terlalu banyak nanti akan tenggelam rasa bawang terkaramel, dan jadi rasa ayam masak lada hitam. Masakan ini boleh buat berkuah sikit atau kering.
- Saya suka reneh sampai kering. Oleh kerana tekak ni tekak nusantara, terpaksa tambah cili untuk dapatkan kepedasan. Macam saya kata tadi, tak boleh letak lada hitam banyak, nanti jadi ayam lada hitam.
- Siap untuk dihidang!
Sukar nak cakap macam mana rasa Ayam Bawang Karamel ni. Dia ada manis bawang, ada rasa lemak bawang putih, dan ada rasa hangat lada hitam. Boleh dimakan dengan nasi atau roti je. Rugi kalau anda tak cuba, bahan utama yang diperlukan pun amat sedikit. Boleh buat ketika anda hampir kehabisan barang dapur.
Selamat Mencuba!
Kredit foto & resepi: Kamarul Ariffin Nor Sadan
Baca Juga: Wanita Ini Kongsi Tips & Resepi Ayam Madu Macam Pasar Malam. Masak Dalam Kuali Je!