Masakan Terengganu antara yang sangat popular adalah Nasi Dagang dan juga Nasi Lemak Ikan Aye. Hidangan ini pasti akan dicari atau dimakan oleh pengunjung dari negeri luar. Jika ke Negeri Terengganu tanpa pekena makanan tersebut tidak sah kan?
Namun waktu sekarang agak sekarang untuk pergi bercuti, jadi apa kata buat sendiri sahaja Sambal Ikan Aye dan Nasi Lemak versi Terengganu ini. Lihat sahaja perkongsian resepi dari Muliadi Ramli ini. Langkahnya sangat ringkas namun rasanya sangat padu.
Resepi Sambal Ikan Aye
Bahan-bahan:
- 5 ketul ikan aye | dibersihkan dan direbus dengan garam dan asam keping
- 1 mangkuk kecil air asam jawa
- 2 batang serai | diketuk
- 1/2 keping gula melaka
- 2 helai daun pandan
- Garam dan gula
- Perasa
- Minyak untuk menumis
Bahan kisar:
- 1 biji bawang besar
- 5 biji bawang merah
- 3 biji bawang putih
- 20 tangkai cili kering | dibuang biji dan direndam air panas
- Belacan
- 5 biji cili api
Cara Penyediaan:
- Panaskan minyak. Tumis serai dan duan pandan sehingga naik bau.
- Kemudian tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan kering.
- Apabila dah kering tambahkan air, tumis lagi. Bila hampir kering, masukkan air rebusan ikan, gula melaka, air asam jawa dan kacau.
- Kemudian masukkan ikan, kecilkan api biar kuah mendidih dengan api yang kecil.
- Apabila kuah dah pekat masukkan garam, gula dan perasa.
- Kacau bagi sebati. Apabila kuah dan betul-betul cantik dan pekat, matikan api.
- Siap untuk dihidangkan.
Resepi Nasi Lemak
Bahan-bahan:
- 4 cawan beras basmathi | direndam 40 minit dan toskan
- 2 biji bawang merah | dimayang
- 2 batang serai | diketuk
- 1 inci halia | dihiris nipis
- 1 kotak santan kecil | dicampur dengan 1 kotak air dan masukkan garam dan sedikit gula. Kacau sebati.
Cara Penyediaan:
- Panaskan periuk, masukkan beras yang sudah ditos dengan semua bahan-bahan di atas dan santan.
- Kacau rata dan tambah air biasa. Paras air lebih sedikit sahaja dari beras.
- Tutup periuk masak macam biasa.
- Siap untuk dihidangkan.
Mudah sahaja kan nak buat Sambal Ikan Aye bersama Nasi Lemak versi Terengganu ini? Kalau sebelum ini anda hanya makan nasi lemak berlaukkan telur, ikan bilis, sotong, kerang apa kata kali ini buat pula nasi lemak berlaukkan ikan aye versi Terengganu ini. Pasti puas hati punya!
Selamat mencuba!
Kredit: Muliadi Ramli
Baca juga: Resepi Nasi Arab Mandy Yang Sedap, Tak Payah Susah-Susah Beratur. Buat Sendiri Je Di Rumah!