Kebaikan bukan sahaja perlu disebar kepada manusia, tetapi ia juga perlu disebar kepada semua termasuk haiwan-haiwan yang merupakan ciptaan Tuhan.
Seperti kisah yang dikongsi – berkenaan dengan seorang lelaki yang menyebarkan kebaikan dengan memberi makanan kepada anjing jalanan, kebaikannya menyentuh hati manusia yang melihatnya.
“Tidak salah santuni anjing asalkan kita tahu hukum dan batas agama sebagai Muslim. Kita tidak membelanya kerana ia memang dilarang dalam agama,” kata Mohd Ridzal Abdul Laatip.
Mohd Ridzal, 52, memberi reaksi itu berhubung perkongsian videonya memberi makan anjing di rumahnya di Inderapura, Kuantan yang mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memuji usaha murni dilakukan bapa empat anak itu.
Menurutnya, dia mula memberi haiwan itu makan sejak tahun lalu apabila tiga anak anjing milik pemilik kebuh berhampiran rumahnya kerap datang untuk bermain dan mencari makan kerana di rumahnya juga membela 14 kucing.
Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga sama sekali tidak pernah memeluk atau membawa masuk anjing berkenaan ke dalam rumah kerana mengetahui hukum agama yang melarang membela anjing tanpa keperluan kecuali tiga sebab.
Menurutnya, dia menyedari tidak semua boleh menerima apa yang dilakukannya namun ia dilakukan atas dasar ehsan dan mengakui tidak salah berbuat baik dengan mana-mana haiwan yang tidak mendatangkan bahaya.
“Kalau kita tak suka tak apa cuma jangan halau sehingga menyakiti haiwan itu sama ada anjing mahupun kucing. Pada saya perkongsian video itu juga sebagai dakwah menunjukkan sebagai Muslim kita boleh beri makan tetapi jangan anggap anjing sebagai haiwan peliharaan dan jangan peluknya.
“Ada juga orang bukan Islam tanya kenapa saya basuh dengan air tanah dan kita terangkan sebabnya, selain ada mualaf juga tanya mengenai sertu jadi kita ajar juga.
“Saya harap perkongsian ini dapat memberi sesuatu untuk orang lain mengenainya yang semua ini tetap ada hukum dan batasnya,” katanya.
Ulama dalam mazhab Syafi’i sudah menetapkan keharusan untuk membela anjing ini hanya untuk beberapa keadaan saja iaitu untuk pemburuan, menjaga tanaman dan melindungi ternakan.
Sumber: Harian Metro