Bidang pertanian adalah salah satu bidang yang memberikan keuntungan lumayan jika diuruskan dengan betul dan menjadi.
Seperti kisah seorang bapa kepada tujuh orang anak di Kampung Lepah, Selising Pasir Puteh tidak pernah menyangka tanaman betik yang diusahakannya sebagai hobi mampu memberikan pulang lumayan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.
Mohamed Omar, 66, berkata, dia mula menanam betik jenis Callina sebanyak 30 pokok pada 2019 bagi mengisi masa di waktu lapang.
“Saya terkejut apabila betik yang mempunyai isi tebal, berwarna merah dan berbau harum ini mendapat permintaan tinggi apabila ia mula dijual kepada orang ramai.
“Situasi itu menyebabkan saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Menurut bekas kontraktor itu, melihat kepada potensi serta permintaan tinggi dia memberanikan diri dengan mengusahakan tanaman tersebut secara komersial.
Mohamed memberitahu, pada Mac ini dia dibantu oleh anak lelakinya akan membuka lagi tanah seluas 1.6 hektar bagi mengusahakan tanaman betik.
“Setakat ini permintaan terhadap buah betik sangat tinggi namun bekalannya terhad.
“Walaupun saya berjaya mengeluarkan 1,000 kilogram (kg) sehari namun ia masih belum dapat memenuhi pasaran tempatan,” katanya.
Menurut Mohamed, permintaan tinggi disebabkan oleh tiada persaingan daripada pihak yang mengusahakan betik secara komersial.
Tambahnya, pada masa sama dia sendiri memiliki gerai khas yang terletak berhampiran kebunnya dan menjual pada harga RM10 bagi 3kg betik.
“Jika cuaca panas dan kering, isi serta kualiti buah akan menjadi lebih baik. Bagaimanapun ia tetap memerlukan air yang cukup.
“Hujan akan menyebabkan buah betik cepat rosak, pada Februari tahun lalu saya berdepan kerugian besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit apabila tanaman ditenggelami air,” katanya.
Mohamed memberitahu, pokok betik boleh bertahan sehingga tiga tahun serta boleh diremajakan semula.
Katanya lagi, ia sesuai ditanam di semua jenis tanah kecuali berpasir dan sebatang pokok boleh menghasilkan sekitar 40 biji buah dalam satu masa.
“Sepanjang tahun sebatang pokok boleh mengeluarkan buah sekitar 120 biji. Alhamdulillah dengan bantuan RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) saya ingin mengembangkan lagi tanaman ini.
“Saya juga bersedia berkongsi kepakaran dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi tanaman pokok betik,” katanya tentang tanam betik.
Sumber: Sinar Harian
Baca juga: 6 Bulan Pun Elok Lagi, Ini Cara Simpan Bunga Kantan Supaya Tahan Lama