Tanggal 3 April 2022, Umat Islam di Malaysia sudah pun mula berpuasa dan sudah pastinya buah kurma ini merupakan hidangan wajib sebelum berbuka puasa. Hakikatnya, buah kurma ini sebenarnya mempunyai pelbagai jenis, khasiat dan manfaat kepada tubuh badan kita.
Ramai di antara kita hanya tahu membeli sahaja bahkan mungkin tidak tahu tentang jenis dan kebaikan kurma yang boleh membantu menguatkan antibodi tubuh badan kita. Jom kita terokai fakta-fakta menarik tentang khasiat dan kebaikan buah kurma di bawah.
Tahukah anda terdapat lebih daripada 1,500 spesis kurma? Dan spesisi kurma utama yang dikomersialkan adalah dari jenis Pheonix Dactylifera. Kurma jenis ini mempunyai 12-21 kepelbagaian sub-spesis.
Kepelbagaian rupa bentuk kurma-kurma ini adalah disebabkan oleh kepelbagaian komposisi kimia di dalamnya. Contohnya, gambar di bawah menunjukkan jenis-jenis kurma dan ciri-ciri setiapnya.
Kurma kaya dengan sumber bahan kimia semulajadi yang bermanfaat untuk tubuh atau lebih dikenali dengan istilah nutrien. Ini termasuklah karbohidrat, protein, serat, vitamin (A, B, C, E, K), mineral (potassium, kalsium, magnesium, phosphorus, zat besi dan zink).
Kurma juga merupakan sumber tenaga segera kerana lebih daripada 80% kandungan karbohidratnya adalah dalam bentuk gula ringkas iaitu fruktosa, glukosa, sukrosa dan maltosa. Sebab itulah kurma digalakkan ambil semasa berbuka puasa. Fruktosa adalah gula yang paling manis terdapat dalam buah secara semulajadi.
Selain daripada itu, kurma juga kaya dengan sumber serat (larut dan tidak larut air) yang membantu dalam sistem penghadaman. Juga fitokimia yang bertindak sebagai antioksida seperti flavonoid, carotenoid dan asid phenolik yang mana baik untuk mengekalkan kesihatan sel-sel badan.
Disebalik banyak kelebihan kurma ini, jumlah pengambilan perlu dijaga terutamanya kandungan gula dan potassium yang tinggi. Mereka yang perlu mengawal gula dan mempunyai masalah buah pinggang haruslah lebih berwaspada dalam pengambilan.
Bagi mereka yang ada stok kurma yang banyak, bolehlah kisar dan buat pes untuk dicampurkan dalam masakan, pestri dan minuman seperti susu bagi menggantikan gula putih aka sukrosa sebagai bahan pemanis.
Buah kurma ini sebenarnya bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan kita malah ia mampu memberikan tenaga yang segera dan mampu membuatkan individu menahan dari lapar dari awal sahur sehingga berbuka puasa. Kelebihan ini sangat luar biasa namun ia adalah lebih bagus jika diamalkan secara berterusan dengan cara yang betul dan bukan hanya di bulan Ramadan sahaja. Jadi, Ini adalah salah satu cara yang terbaik untuk kesihatan kita.
Kredit: ChM Dr Fatimah Salim (Ahli Kimia)
Baca Juga: Khasiat Air Akar Pegaga Yang Ramai Tak Tahu, Sangat Bagus Untuk Wanita Dalam Pantang!